Pages

December 1, 2010

Mana Tuhan Kamu : Finale

2010. Atas kapal Marmara Mavi. Di sempadan laut Gaza.

“Tengah buat apa?” Satu sapaan menggetarkan gegendang telinga.

Noorazman menoleh. Kelihatan Ustaz Hasanuddin. Dia menyambut lelaki itu dengan senyuman.

“Sedang terkenangkan ummat” Noorazman melepaskan pandangan ke laut. Kelam sebelum subuh masih pekat. Justeru gelita ibarat malam tidak sirna. Tinggal hawa menjadi semakin sejuk dengan kewujudan embun dari langit. Dia duduk di tepi kapal bersama baju yang tebal.

Ustaz Hasanuddin duduk. “Moga-moga, usaha kita ini akan menjadi batu loncatan agar ummah bangkit dari lena”

Noorazman mengangguk. “Sungguh, misi kita bukan sekadar hendak menghantar bantuan kemanusiaan. Tetapi kita harapkan misi ini mampu memangkin semula keimanan ummah”

“Sama ada dengan kita selamat sampai ke Gaza, atau ditimpa musibah Israel di tengah lautan, kedua-duanya akan memberikan impak kepada dunia” Ustaz Hasanuddin membuka dompetnya.

Gambar dirinya bersama isteri dan anak-anak.

“Walau diri ini berkorban dan akhirnya terkorban, kalau itu harganya untuk kebangkitan ummah, maka ana tak akan menyesal”

Noorazman menghela nafas. “InsyaAllah, akan ada jiwa-jiwa yang menyahut” Sambil tangannya memaut bahu Ustaz Hasanuddin.

“Amiin”

Tiba-tiba, keheningan kelam terganggu dengan satu bunyi yang menderu. Noorazman dan Ustaz Hasanuddin mendongak ke langit. Kelihatan lampu-lampu sedang terapung.

“Apakah…” Dan belum sempat Noorazman menyempurnakan kalimah itu, lampu-lampu yang terapung sudah berada di atasnya bersama bunyi yang sangat kuat.

Putaran kipas Apache AH-64D kedengaran membingit.

“Ustaz Hasanuddin, Israel!” Noorazman menolak Ustaz Hasanuddin agar berlindung ke dalam kapal.

Tanpa amaran, tembakan bertalu-talu dilepaskan. Suasana kapal yang tadinya tenang kini bergejolak. Komando-komando Israel turun dari helikopter dan tanpa belas melepaskan tembakan bertalu-talu ke semua arah tanpa mengira sesiapa.

Noorazman dan Ustaz Hasanuddin berlindung di sebalik dinding. Mereka sempat juga melihat kapal-kapal lain yang menyertai konvoi Lifeline4Gaza, Break The Siedge, sedang mengalami nasib yang sama.

“Ya Allah, sungguh Allah telah memilih kita!” Ustaz Hasanuddin memandang Noorazman.

Belum sempat Noorazman memberikan respon, satu bunyi membuatkan tubuhnya kaku. Terasa seperti ada besi panas menyentuh ubun kepalanya.

“Jangan bergerak. Bangun dengan perlahan-lahan” Suara itu kedengaran. Menurut arahan, Noorazman dan Ustaz Hasanuddin bangun. Kelihatan tentera berpakaian serba hitam sedang mengacu SC3000 ke arah mereka berdua.

Noorazman dan Ustaz Hasanuddin dibawa ke hadapan dek kapal. Di situ mereka melihat ramai lagi ahli konvoi sedang dikumpulkan. Sempat mereka melihat berbelas mayat bergelimpangan. Air mata tidak dapat ditahan, lantas mengalir kesayuan.

“Apakah kalian tidak kisah bahawa perkara ini akan ditunjukkan kepada dunia?” Noorazman berbicara kepada tentera yang membawanya.

Tentera itu hanya tersegih. “Sedangkan pembunuhan dan peperangan di Palestin selama ini pun dihalalkan oleh dunia untuk kami, apatah lagi kematian sekitar 20 orang hari ini?”

“Allah akan menghitung kamu!” Ustaz Hasanuddin mengetap bibir, geram.

Tentera-tentera itu ketawa.

“Maka di mana Tuhan kamu itu?” Dan mereka terus ketawa. Salah seorang dari mereka memegang kepala Ustaz Hasanuddin dengan keras. Matanya didekatkan dengan mata Ustaz Hasanuddin.

“Kami telah menawan Palestin 62 tahun. Dan sepanjang waktu itu, entah berapa kali kami telah mendengar laungan nama Allah dari mulut mereka. Tetapi tetap kami yang berkuasa. Hari ini, semua yang mati itu, semuanya menjerit nama Allah di hujung nyawa mereka, tetapi tetap kami berdiri di sini menawan kamu semua.”

Kemudian dia diam sebentar. Ustaz Hasanuddin pula turun naik nafasnya.

“Maka, di mana tuhan kamu?”

Dan soalannya disambut dekah tawa.

Seluruh kapal konvoi di bawa Haifa.

Tragedi yang berlaku ini, menggemparkan dunia. Tetapi kekebalan Israel membuatkan segala suara menjadi sia-sia. Tambah menjadi anak angkat kepada penguasa dunia, atau lebih tepat lagi, kuasa dunia itu adalah boneka mereka, Israel tidak mampu disentuh hanya dengan jeritan sahaja.

Ada manusia akhirnya tidak peduli. Padanya ini hanyalah satu kisah, dari puluhan kisah tragedi di tangan Israel. Ada pula manusia yang turut serta bising itu dan ini. Tetapi akhirnya dia juga senyap kerana tidak mampu mencapai apa yang dihajati dalam masa yang amat terdekat ini.

Ramai pula manusia sudah hilang kekuatan untuk berusaha. Sangka mereka Tuhan telah meninggalkan mereka.

Tetapi Allah hakikatnya sentiasa ada dan dekat dengan hambaNya. Ini adalah ujian, tapisan, untuk memerhatikan siapa yang benar-benar beriman kepadaNya. Nanti saat bantuan tiba, yang palsu keimanannya akan tertapis pergi.

Yang tinggal hanya yang benar-benar layak mencium syurga.

Dan dalam kalangan manusia berbagai rencah itu, wujud lagi yang tidak berputus asa.

Terus menerus memproses.

Memandang ini sebagai satu perang nafas panjang.

Yang di akhirnya hanyalah kebenaran kepada yang utuh berpegang.

*****

Tahun XXXX, tempat XXXX, waktu XXXX.

Dia meraup wajahnya. Doa penuh khusyuk telah dipanjatkan kepada Rabbnya. Mengambil masa, dia bertafakur seketika. Walau di luar kelihatan tidak melakukan apa-apa, tetapi akal dan jiwanya sedang bekerja. Akal merangka segala jenis formula strategi. Jiwa pula sibuk menjaga hubungan dengan Pemberi Kekuatan di medan nanti.

“Jeneral, pasukan kita telah siap” Dia dipanggil.

Menghela nafas, dia bangkit. Kain khemahnya diselak. Cahaya terang memanah. Dia sedang berdiri menghadap jutaan tentera yang berbaris kemas. Kelihatan pula di satu sudut, gabenor-gabenor wilayah sedang duduk di kerusi masing-masing. Di tengah-tengah mereka, terdapat satu figur yang kelihatan dari luarnya sederhana, tetapi perawakannya menggambarkan karismanya yang tinggi.

Itulah dia Khalifah ummat hari ini.

Dunia telah berubah ke satu ekstensi yang tidak pernah ada yang menjangka. Perubahan sedikit demi sedikit yang berlaku di serata tempat di dunia, membuatkan musuh-musuh tidak menang tangan menguruskannya. Akhirnya wujud beberapa negara yang berjaya ditumbangkan dan dikuasai. Ada yang menggunakan politik, ada pula yang menggunakan tentera.

Tetapi asasnya tetap sama. Ummah dikoreksi terlebih dahulu, sebelum kuasa diambil semula. Terus, masyarakat yang faham menyokong ketua mereka, bersepadu hidup dan mati kerana faham bahawa ini semua untuk syurga Allah di akhirat sana.

Ketua-ketua pula adil dan saksama, membentuk satu kesatuan menghapuskan sempadan sesama negara. Mewujudkan satu kekuatan bernaung di bawah satu nama. Khilafah.

Amirul Mukminin, Sultan tertinggi mengetuai semua orang Islam di dunia, dihidupkan semula. Semua orang Islam bergerak meninggalkan negara mereka dan bernaung di bawah kekuasaan khilafah ini. Mencari kehidupan yang aman bawah sistem peraturan yang ideal dan sempurna. Terlindung dan dibela.

Pembinaan yang dirancang berpuluh-puluh tahun dan digerakkan secara konsisten ini, melahirkan kekuatan yang tidak terjangka. Jika dahulu Amerika terpaksa bersaing dengan Russia untuk menjadi kuasa terbesar dunia, hari ini mereka sedang dihimpit satu kuasa besar yang tiada tandingannya.

Dan hari ini, tanah suci bernama Al-Quds hendak ditawan semula.

Walaupun berkali-kali Amerika merayu agar perjanjian damai yang menjadi solusinya, khalifah tetap berkeras untuk meneruskan ekspedisi perang ini. Tiada lagi yang berani menyelar itu satu tindakan terorisma. Tiada siapa lagi berani mengugut untuk melakukan itu dan ini jika bertindak. Tiada siapa lagi berani menghina dan mencerca.

Israel Zionis juga hilang bicara. Antara ugutan mereka adalah ingin meruntuhkan Al-Aqsa jika Khalifah tetap menyerang juga.

Tetapi Khalifah mengeluarkan kenyataan.

“Ka’bah pernah runtuh dan dibina semula. Kamu hanya akan mampu meruntuhkan bangunan Al-Aqsa dan kami akan membinanya semula.” Keras dan tegas, membawa kepada kegerunan yang tidak terhingga.

“Hari ini, aku sebagai wakil Allah di bumi, dan pewaris Rasulullah untuk zaman ini, akan menjalankan hukuman ke atas kalian wahai kaum kera” Khalifah menutup penyataan tegasnya.

Amerika diberi amaran agar menyertai Israel agar mudah dihapuskan sekaligus, dan nyata Amerika tidak berani berbuat apa-apa melainkan menunggu gilirannya di bumi sendiri sana.

Dia menghela nafas. Dia, jeneral yang akan mengetuai ketumbukan tentera untuk menundukkan Israel hari ini. Dan semua yang berada di hadapannya kini, tidak akan mampu terwujud tanpa usaha penuh perancangan dan konsisten yang dilaksanakan oleh orang-orang terdahulu.

Satu proses yang dilaksanakan penuh dedikasi dan efisyen.

Dakwah dan Tarbiyyah dalam bentuk pegerakan yang bersistem.

Ibarat anai-anai yang merobohkan almari. Senyap bekerja, dan kesannya menggemparkan jiwa.

Nafas disedut tenang. Dia mengangkat tangan.

“Menuju Al-Quds!”

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Dan teriakan takbir menggempita.

Hujan turun membasahi dunia. Seakan-akan tangisan syukur oleh bumi kerana kembalinya kerajaan khilafah yang bersatu seperti zaman Al-Mu’tasim, dan tentera serta pemimpin yang bersih seperti Salahuddin dan askarnya yang dipimpin.

Kapal terbang, jet pejuang, helikopter, kapal selam, kapal perang armada, bergerak meninggalkan pangkalan.

Dia memandang jauh ke hadapan.

“Wahai Israel, inilah dia suara Tuhanku menyatakan bahawa Dia sentiasa wujud bersama hambaNya. Yang percaya akan bahagia. Yang tidak hanya akan merana”

Rujukan:

http://en.wikipedia.org/wiki/Saladin

http://en.wikipedia.org/wiki/Raynald_of_Ch√Ętillon

http://en.wikipedia.org/wiki/Battle_of_Hattin

http://id.wikipedia.org/wiki/Al-Mu’tasim

http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/index.html