Pages

December 1, 2010

Mana Tuhan Kamu : Finale

2010. Atas kapal Marmara Mavi. Di sempadan laut Gaza.

“Tengah buat apa?” Satu sapaan menggetarkan gegendang telinga.

Noorazman menoleh. Kelihatan Ustaz Hasanuddin. Dia menyambut lelaki itu dengan senyuman.

“Sedang terkenangkan ummat” Noorazman melepaskan pandangan ke laut. Kelam sebelum subuh masih pekat. Justeru gelita ibarat malam tidak sirna. Tinggal hawa menjadi semakin sejuk dengan kewujudan embun dari langit. Dia duduk di tepi kapal bersama baju yang tebal.

Ustaz Hasanuddin duduk. “Moga-moga, usaha kita ini akan menjadi batu loncatan agar ummah bangkit dari lena”

Noorazman mengangguk. “Sungguh, misi kita bukan sekadar hendak menghantar bantuan kemanusiaan. Tetapi kita harapkan misi ini mampu memangkin semula keimanan ummah”

“Sama ada dengan kita selamat sampai ke Gaza, atau ditimpa musibah Israel di tengah lautan, kedua-duanya akan memberikan impak kepada dunia” Ustaz Hasanuddin membuka dompetnya.

Gambar dirinya bersama isteri dan anak-anak.

“Walau diri ini berkorban dan akhirnya terkorban, kalau itu harganya untuk kebangkitan ummah, maka ana tak akan menyesal”

Noorazman menghela nafas. “InsyaAllah, akan ada jiwa-jiwa yang menyahut” Sambil tangannya memaut bahu Ustaz Hasanuddin.

“Amiin”

Tiba-tiba, keheningan kelam terganggu dengan satu bunyi yang menderu. Noorazman dan Ustaz Hasanuddin mendongak ke langit. Kelihatan lampu-lampu sedang terapung.

“Apakah…” Dan belum sempat Noorazman menyempurnakan kalimah itu, lampu-lampu yang terapung sudah berada di atasnya bersama bunyi yang sangat kuat.

Putaran kipas Apache AH-64D kedengaran membingit.

“Ustaz Hasanuddin, Israel!” Noorazman menolak Ustaz Hasanuddin agar berlindung ke dalam kapal.

Tanpa amaran, tembakan bertalu-talu dilepaskan. Suasana kapal yang tadinya tenang kini bergejolak. Komando-komando Israel turun dari helikopter dan tanpa belas melepaskan tembakan bertalu-talu ke semua arah tanpa mengira sesiapa.

Noorazman dan Ustaz Hasanuddin berlindung di sebalik dinding. Mereka sempat juga melihat kapal-kapal lain yang menyertai konvoi Lifeline4Gaza, Break The Siedge, sedang mengalami nasib yang sama.

“Ya Allah, sungguh Allah telah memilih kita!” Ustaz Hasanuddin memandang Noorazman.

Belum sempat Noorazman memberikan respon, satu bunyi membuatkan tubuhnya kaku. Terasa seperti ada besi panas menyentuh ubun kepalanya.

“Jangan bergerak. Bangun dengan perlahan-lahan” Suara itu kedengaran. Menurut arahan, Noorazman dan Ustaz Hasanuddin bangun. Kelihatan tentera berpakaian serba hitam sedang mengacu SC3000 ke arah mereka berdua.

Noorazman dan Ustaz Hasanuddin dibawa ke hadapan dek kapal. Di situ mereka melihat ramai lagi ahli konvoi sedang dikumpulkan. Sempat mereka melihat berbelas mayat bergelimpangan. Air mata tidak dapat ditahan, lantas mengalir kesayuan.

“Apakah kalian tidak kisah bahawa perkara ini akan ditunjukkan kepada dunia?” Noorazman berbicara kepada tentera yang membawanya.

Tentera itu hanya tersegih. “Sedangkan pembunuhan dan peperangan di Palestin selama ini pun dihalalkan oleh dunia untuk kami, apatah lagi kematian sekitar 20 orang hari ini?”

“Allah akan menghitung kamu!” Ustaz Hasanuddin mengetap bibir, geram.

Tentera-tentera itu ketawa.

“Maka di mana Tuhan kamu itu?” Dan mereka terus ketawa. Salah seorang dari mereka memegang kepala Ustaz Hasanuddin dengan keras. Matanya didekatkan dengan mata Ustaz Hasanuddin.

“Kami telah menawan Palestin 62 tahun. Dan sepanjang waktu itu, entah berapa kali kami telah mendengar laungan nama Allah dari mulut mereka. Tetapi tetap kami yang berkuasa. Hari ini, semua yang mati itu, semuanya menjerit nama Allah di hujung nyawa mereka, tetapi tetap kami berdiri di sini menawan kamu semua.”

Kemudian dia diam sebentar. Ustaz Hasanuddin pula turun naik nafasnya.

“Maka, di mana tuhan kamu?”

Dan soalannya disambut dekah tawa.

Seluruh kapal konvoi di bawa Haifa.

Tragedi yang berlaku ini, menggemparkan dunia. Tetapi kekebalan Israel membuatkan segala suara menjadi sia-sia. Tambah menjadi anak angkat kepada penguasa dunia, atau lebih tepat lagi, kuasa dunia itu adalah boneka mereka, Israel tidak mampu disentuh hanya dengan jeritan sahaja.

Ada manusia akhirnya tidak peduli. Padanya ini hanyalah satu kisah, dari puluhan kisah tragedi di tangan Israel. Ada pula manusia yang turut serta bising itu dan ini. Tetapi akhirnya dia juga senyap kerana tidak mampu mencapai apa yang dihajati dalam masa yang amat terdekat ini.

Ramai pula manusia sudah hilang kekuatan untuk berusaha. Sangka mereka Tuhan telah meninggalkan mereka.

Tetapi Allah hakikatnya sentiasa ada dan dekat dengan hambaNya. Ini adalah ujian, tapisan, untuk memerhatikan siapa yang benar-benar beriman kepadaNya. Nanti saat bantuan tiba, yang palsu keimanannya akan tertapis pergi.

Yang tinggal hanya yang benar-benar layak mencium syurga.

Dan dalam kalangan manusia berbagai rencah itu, wujud lagi yang tidak berputus asa.

Terus menerus memproses.

Memandang ini sebagai satu perang nafas panjang.

Yang di akhirnya hanyalah kebenaran kepada yang utuh berpegang.

*****

Tahun XXXX, tempat XXXX, waktu XXXX.

Dia meraup wajahnya. Doa penuh khusyuk telah dipanjatkan kepada Rabbnya. Mengambil masa, dia bertafakur seketika. Walau di luar kelihatan tidak melakukan apa-apa, tetapi akal dan jiwanya sedang bekerja. Akal merangka segala jenis formula strategi. Jiwa pula sibuk menjaga hubungan dengan Pemberi Kekuatan di medan nanti.

“Jeneral, pasukan kita telah siap” Dia dipanggil.

Menghela nafas, dia bangkit. Kain khemahnya diselak. Cahaya terang memanah. Dia sedang berdiri menghadap jutaan tentera yang berbaris kemas. Kelihatan pula di satu sudut, gabenor-gabenor wilayah sedang duduk di kerusi masing-masing. Di tengah-tengah mereka, terdapat satu figur yang kelihatan dari luarnya sederhana, tetapi perawakannya menggambarkan karismanya yang tinggi.

Itulah dia Khalifah ummat hari ini.

Dunia telah berubah ke satu ekstensi yang tidak pernah ada yang menjangka. Perubahan sedikit demi sedikit yang berlaku di serata tempat di dunia, membuatkan musuh-musuh tidak menang tangan menguruskannya. Akhirnya wujud beberapa negara yang berjaya ditumbangkan dan dikuasai. Ada yang menggunakan politik, ada pula yang menggunakan tentera.

Tetapi asasnya tetap sama. Ummah dikoreksi terlebih dahulu, sebelum kuasa diambil semula. Terus, masyarakat yang faham menyokong ketua mereka, bersepadu hidup dan mati kerana faham bahawa ini semua untuk syurga Allah di akhirat sana.

Ketua-ketua pula adil dan saksama, membentuk satu kesatuan menghapuskan sempadan sesama negara. Mewujudkan satu kekuatan bernaung di bawah satu nama. Khilafah.

Amirul Mukminin, Sultan tertinggi mengetuai semua orang Islam di dunia, dihidupkan semula. Semua orang Islam bergerak meninggalkan negara mereka dan bernaung di bawah kekuasaan khilafah ini. Mencari kehidupan yang aman bawah sistem peraturan yang ideal dan sempurna. Terlindung dan dibela.

Pembinaan yang dirancang berpuluh-puluh tahun dan digerakkan secara konsisten ini, melahirkan kekuatan yang tidak terjangka. Jika dahulu Amerika terpaksa bersaing dengan Russia untuk menjadi kuasa terbesar dunia, hari ini mereka sedang dihimpit satu kuasa besar yang tiada tandingannya.

Dan hari ini, tanah suci bernama Al-Quds hendak ditawan semula.

Walaupun berkali-kali Amerika merayu agar perjanjian damai yang menjadi solusinya, khalifah tetap berkeras untuk meneruskan ekspedisi perang ini. Tiada lagi yang berani menyelar itu satu tindakan terorisma. Tiada siapa lagi berani mengugut untuk melakukan itu dan ini jika bertindak. Tiada siapa lagi berani menghina dan mencerca.

Israel Zionis juga hilang bicara. Antara ugutan mereka adalah ingin meruntuhkan Al-Aqsa jika Khalifah tetap menyerang juga.

Tetapi Khalifah mengeluarkan kenyataan.

“Ka’bah pernah runtuh dan dibina semula. Kamu hanya akan mampu meruntuhkan bangunan Al-Aqsa dan kami akan membinanya semula.” Keras dan tegas, membawa kepada kegerunan yang tidak terhingga.

“Hari ini, aku sebagai wakil Allah di bumi, dan pewaris Rasulullah untuk zaman ini, akan menjalankan hukuman ke atas kalian wahai kaum kera” Khalifah menutup penyataan tegasnya.

Amerika diberi amaran agar menyertai Israel agar mudah dihapuskan sekaligus, dan nyata Amerika tidak berani berbuat apa-apa melainkan menunggu gilirannya di bumi sendiri sana.

Dia menghela nafas. Dia, jeneral yang akan mengetuai ketumbukan tentera untuk menundukkan Israel hari ini. Dan semua yang berada di hadapannya kini, tidak akan mampu terwujud tanpa usaha penuh perancangan dan konsisten yang dilaksanakan oleh orang-orang terdahulu.

Satu proses yang dilaksanakan penuh dedikasi dan efisyen.

Dakwah dan Tarbiyyah dalam bentuk pegerakan yang bersistem.

Ibarat anai-anai yang merobohkan almari. Senyap bekerja, dan kesannya menggemparkan jiwa.

Nafas disedut tenang. Dia mengangkat tangan.

“Menuju Al-Quds!”

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Dan teriakan takbir menggempita.

Hujan turun membasahi dunia. Seakan-akan tangisan syukur oleh bumi kerana kembalinya kerajaan khilafah yang bersatu seperti zaman Al-Mu’tasim, dan tentera serta pemimpin yang bersih seperti Salahuddin dan askarnya yang dipimpin.

Kapal terbang, jet pejuang, helikopter, kapal selam, kapal perang armada, bergerak meninggalkan pangkalan.

Dia memandang jauh ke hadapan.

“Wahai Israel, inilah dia suara Tuhanku menyatakan bahawa Dia sentiasa wujud bersama hambaNya. Yang percaya akan bahagia. Yang tidak hanya akan merana”

Rujukan:

http://en.wikipedia.org/wiki/Saladin

http://en.wikipedia.org/wiki/Raynald_of_Ch√Ętillon

http://en.wikipedia.org/wiki/Battle_of_Hattin

http://id.wikipedia.org/wiki/Al-Mu’tasim

http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/index.html

November 9, 2010

Jabir Menjamu Tetamu



Gambar sekadar hiasan

JABIR bin Abdullah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Beliau sudah berumah tangga. Beliau seorang yang berhati mulia.

Semasa orang Islam di Kota Madinah sibuk menyelamatkan Madinah daripada serangan kafir Quraisy Mekah, salah satu kaedah yang digunakan ialah menggali parit. Ia bertujuan menghalang serangan musuh Islam.

Idea menggali parit itu dicadangkan oleh Salaman al-Farisi. Menurut sejarah Islam, pada tahun itu, tercetusnya perang yang dikenali sebagai Perang Khandak. Perkataan Khandak diambil sempena nama parit yang digali oleh orang Islam Madinah.

Kerja menggali parit dilakukan oleh 1,000 orang penduduk Islam Madinah. Mereka melakukannya dengan penuh semangat supaya pihak musuh dapat ditewaskan. Jabir bin Abdullah adalah antara salah seorang daripada penggali parit itu.

Turut serta adalah Nabi Muhammad sendiri. Baginda tidak duduk diam atau memberi arahan semata-mata. Tetapi baginda juga bekerja keras supaya parit itu dapat disiapkan dengan segera.

Hari semakin panas. Orang Islam berusaha menggali parit dengan sedaya upaya mereka. Selepas selesai, mereka semua berehat kerana letih dan penat. Jabir melihat keadaan Nabi Muhammad yang juga kelihatan penat.

"Nampaknya Nabi Muhammad sudah penat. Kelihatan baginda sangat lapar. Baik saya sediakan makanan bagi Nabi Muhammad," bisik Jabir seorang diri.
Tanpa membuang masa, Jabir segera pulang ke rumah. Beliau terus mendapatkan isterinya yang pada masa itu berada di dapur.

"Wahai isteriku, adakah barang makanan yang dapat kita sediakan bagi Nabi Muhammad? Selepas menggali parit tadi, saya lihat Nabi Muhammad penat dan berada di dalam keadaan lapar. Saya berhajat menyediakan makanan baginya," kata Jabir kepada isterinya.

"Di rumah kita hanya ada sebungkus kecil gandum. Di luar rumah, ada seekor kambing yang masih kecil," jawab isterinya sambil menunjukkan bungkusan kecil gandum kepada suaminya.

"Saya rasa gandum ini cukup untuk diberikan sebagai makanan kepada Nabi Muhammad. kamu masaklah gandum ini dengan masakan yang istimewa. Sementara saya pergi ke luar rumah menyembelih kambing itu," jelas Jabir kepada isterinya.

"Suamiku, kambing itu masih kecil. Bukankah kita mahu menunggu hasil daripada kambing itu?" Tanya isterinya.

"Tidak mengapa, isteriku. Allah menambah rezeki kepada kita apabila kita membantu orang lain. Kita patut sentiasa bersyukur," jawab Jabir pula.

Mendengar penjelasan itu, isterinya segera menggiling gandum dan dijadikan tepung. Sementara Jabir pergi ke tempat kambingnya dan terus menyembelihnya. Selesai melapah kambing itu, Jabir membawa daging kambing itu ke dapur rumahnya.

"Sudahkah kamu menguli tepung gandum itu?" Tanya Jabir.

"Sudah," jawab isterinya.

"Kambing itu kita masak dengan masakan yang sedap supaya Nabi Muhammad gembira menikmati hidangan yang kita sediakan ini," ujar Jabir kepada isterinya.
"Baiklah, suamiku," jawab isterinya sambil mengambil daging kambing itu.

Kemudian, Jabir keluar semula menemui Nabi Muhammad. Sebelum Jabir keluar, isterinya berpesan: "Suamiku, jemputlah Nabi Muhammad sahaja, jangan jemput orang lain kerana makanan itu tidak cukup bagi orang yang ramai itu."

"Baiklah," kata Jabir sambil berlalu pergi.

Sampai di kawasan parit, Jabir melihat Nabi Muhammad sedang berehat. Beliau berjalan menuju ke arah Nabi Muhammad.

Jabir mendekati Nabi Muhammad dan berkatanya kepadanya dengan suara yang perlahan: "Jemputlah datang ke rumah saya. Saya ada sediakan makanan buat tuan. Cuma makanan itu sedikit. Saya tidak dapat menjemput ramai orang kerana risau ia tidak cukup."
Mendengar khabar itu, Nabi Muhammad melaung-laungkan suaranya menjemput semua yang terlibat ke rumah Jabir.

"Dengar sini semua, hari ini Jabir berbesar hati menyediakan makanan bagi kita semua. Mari kita beramai-ramai menuju ke rumah Jabir!"

Para pekerja yang mendengar laungan Nabi Muhammad itu berasa gembira. Mereka beramai-ramai menuju ke rumah Jabir. Sebelum bergerak, Nabi Muhammad berpesan kepada Jabir supaya tidak menyediakan makanan itu sehingga Nabi Muhammad sampai.
Sampai sahaja mereka di rumah, isteri Jabir terkejut melihat ramai orang datang ke rumahnya.

"Bukankah saya sudah berpesan kepada kamu tadi. Kamu mesti bertanggungjawab sekiranya makanan ini tidak cukup bagi menampung seramai 1,000 orang ini," kata isteri Jabir kepada suaminya.

Kemudian, Nabi Muhammad menuju ke dapur rumah Jabir. Beliau berdoa kepada tepung gandum itu. Kemudian, beliau menuju ke tempat periuk memasak daging dan berdoa pada periuk itu.

Selepas mendoakan makanan itu, Nabi Muhammad berpesan kepada isteri Jabir supaya mencari seorang pembantu bagi membantunya memasak. Nabi Muhammad juga berpesan supaya periuk yang berisi kambing itu dibiarkan masak di atas tungkunya dan hanya dicedok terus dari periuk itu.

Selepas makanan itu siap dimasak, Jabir menghidangkan kepada tetamu-tetamunya. Berkat keikhlasan mereka, Jabir dan isterinya tidak menyangka makanan yang sedikit itu cukup untuk 1,000 orang tetamu.

http://www.utusan.com.my/utusan/ ; Petikan daripada buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd

Upload By : MR.B

Selamat Menjalani Imtihan

Ikhlaskan hati dengan ilmu, InsyaAllah akan dipermudahkan urusan,. ~Picture of Deviant Art

Selamat Maju Jaya kepada semua warga Kolej Canselor dalam menghadapi peperiksaan akhir semester ini.


Semoga dipermudahkan urusan dalam menjawab imtihan ini. 

November 7, 2010

Apabila keperluan muncul, ia bergeseran dengan ikhlas.

Ikhlaskah kamu dalam memberikan sesuatu? tepuk dada, tanya iman. ~ Picture by BeciAnne of DeviantArt



Keikhlasan. Kalau kita ceramah, mungkin kita boleh syarahkan berkenaan ikhlas selama tiga hari tiga malam. Tetapi mempraktiskannya? Mungkin sebahagian orang akan berkata senang sahaja. Tetapi wujud sebahagian manusia akan membicarakan kesukarannya dalam mengikhlaskan diri.

Orang-orang yang hakikatnya tidak pernah mengalami kesukaran untuk mengikhlaskan diri, sebenarnya tanpa mereka sedari, mereka belum lagi berada di medan yang sebenar.

Hal ini kerana, jika anda mampu mengikhlaskan diri tanpa ada halangan menarik anda keluar dari keikhlasan, maka itu bukannya satu perkara yang boleh anda banggakan atau nampak sebagai pencapaian yang memuaskan. Samalah dengan orang yang beribadah di dalam gua, berbanding dengan orang yang mengajak ke jalan Allah di tengah kota. Keikhlasan yang terbina hasil dari perjuangan adalah ikhlas yang berkualiti.

Bilakah keikhlasan benar-benar teruji?

Bila wujudnya keperluan lain dalam beramal.


Perkongsian dengan manusia yang berjuang.

“Masa enta tak perlukan duit, enta boleh kata tak ada kesukaran dalam mengikhlaskan diri. Dalam hati enta memang tak ada langsung rasa perlu kepada duit, nak pada duit, sebab enta dah ada duit. Jadi enta buat kerja, tanpa fikir sikit pun akan hal itu.”

Saya mengangguk-angguk.

“Tetapi, apabila sampai satu waktu, duit merupakan keperluan dalam hidup enta. Enta perlukan duit nak sara anak, sara isteri, sara keluarga. Dalam pada masa yang sama, enta langsung tak ada duit. Duit enta sangat sikit. Apabila ada orang panggil enta pergi program, bagi ceramah, buat talk, agak-agak macam mana?”

Dan saya terkedu.

Dan yang berkongsi itu berkata:
“Bila berada dalam situasi itu, barulah bicara perihal ikhlas. Ikhlas yang sebenar, dilihat pada situasi yang demikian.”


Setiap perkara ada dua situasi

“Teori dan praktis. Itu adalah dua situasi. Enta akan nampak satu perkara itu, punya dua definisi berdasarkan dua situasi yang berbeza. Definisi semasa praktis, dan definisinya semasa teori. Mungkin dahulu sebelum enta bergeser dengan keperluan, enta nampak ikhlas itu begini dan begitu. Tetapi bila enta benar-benar bergeser dengan keperluan, enta akan nampak ikhlas itu dalam bentuk yang lain pula. Dan masa itu enta akan nampak, apakah ikhlas yang sebenar. Medannya, keperluan untuk ikhlas dan sebagainya.”

Benar dan benar. Saya hanya mampu mengangguk.


Besarnya ikhlas kepada orang yang beriman

Ada orang berkata: “Alah, buat apa susah-susah fikir fasal ikhlas ke tak ikhlas? Tak fikir langsung kan bagus? Buat pening sahaja. Asal kerja jalan sudah.”

Ya. Mungkin kita nampak, ‘benda-benda tidak nampak’ ini melecehkan.

Tetapi ikhlas hakikatnya adalah syarat utama mencapai ISO yang Allah tetapkan. Ikhlas menjamin kelangsungan kerja yang berpanjangan, kekuatan diri dalam melaksanakan amalan dan mempertahankan diri dari keputus asaan dan kekecewaan.

Ikhlas ini besar kerana silap di dalam ikhlas, akan membawa kita ke pengakhiran yang berlainan. Ini terbukti apabila ‘niat’ dianggap sangat-sangat besar dan penting di dalam Islam. Lihatlah dalam apa kitab hadith sekalipun. Biasanya yang dimulakan adalah hadith berkenaan niat.

“Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berniat berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka dia akan berhijrah kepada Allah dan rasulNya. Tetapi sekiranya dia berniat berhijrah kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hendak hijrah kepadanya.” Hadith sohih muttafaq alaih.


Keikhlasan adalah penting. Besar kepada orang yang beriman yang berhajatkan redha Allah SWT. Yalah, sekiranya niatnya salah, maka redha Allah bukan berada dalam genggamannya. Sekiranya niatnya salah, maka segala amal adalah sia-sia dan tidak dikira.

Maka mengapa perkara ini tidak diperhatikan?


Kadangkala kita rasa kita sudah cukup ikhlas

Ada waktu, kita rasa kita sudah cukup ikhlas. Berhati-hatilah. Sebab mungkin kita mampu merasakan demikian kerana kita belum diuji. Ikhlas dalam beramal ini ibarat air susu yang keluar antara saluran najis dan darah. Ia tetap putih bersih tidak tercemar, bahkan rasa darah atau bau najis pun tidak keluar bersama dengannya.

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan(najis) dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” Surah An-Nahl ayat 66.

Ikhlas adalah demikian. Dari celah-celah ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran yang menarik kita jauh dari keihlasan kita kepada Allah SWT, ikhlas terpancar bersih daripada luhur jiwa dan amalan kita. Ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran, itu semua mendidik kita mengenali ikhlas dengan lebih mendalam, dan mengangkat kita pada satu tahap keikhlasan yang baru.

Maka siapakah antara kita yang berusaha menjaga keikhlasannya?


Penutup: Maka perhatikanlah dirimu, saat pergeseran berlaku.

Maka kita perhatikan diri kita. Pada saat-saat pergeseran antara keinginan untuk ikhlas, dan keperluan yang mendesak datang. Maka di situlah kita ukur kualiti diri kita yang sebenar. Di situlah titik ujian dan muhasabah.
Apakah kita mampu untuk ikhlas?

Atau kita ada perasaan untuk memproses lagi diri kita?

Apabila kita faham makna ikhlas, dan keperluannya dalam kehidupan kita sebagai hamba, maka kita akan berusaha menjaganya sebaik mungkin, dan berusaha mewujudkannya dengan kesungguhan yang tidak terkira. 

Sumber : Hilal Asyraf

November 4, 2010

Senyum

senyum itu sedekah yang paling mudah. ikhlaskan hati dalam memberi senyuman. ~picture by diehappy in deviantart


1.Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2.pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senaman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda, tetapi memberi kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut tersenyum dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman mempertahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3.Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi), ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4.Senyum bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi; menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5.Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100x dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabil kita ketawa, tekanan darah dan kdar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar in akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6.Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa daripada orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun ketawa 400x sehari berbanding 15x sehari kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masaalah kemurungan.

7.Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua 'sterss' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8.Dalam kejadian diatas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan di sebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah di ambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotranmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan adrenaline'.

9.Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T, (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10.Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan, atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11.Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah.Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik .Senyum tidak perlu modal, cuma sekelumit rasa ikhlas yang memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedng marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.


Sumber :Mr.B

Mana Tuhan Kamu III



Tahun 1187. Medan peperangan Hattin. Debu masih menyelimuti langit. Mayat-mayat pula penuh bergelimpangan di atas bumi. Burung-burung pemakan bangkai mula mengintai makanannya.
Kelihatan dua orang lelaki dalam keadaan terikat, sedang dibawa ke satu khemah yang besar.

“Tuanku, inilah dia Guy of Lusignan dan Raynald De Chatillon” Wakil askar yang membawa dua orang itu bersuara.

Satu figur yang memakai zirah perang kuning keemasan lengkap bertopi, memalingkan wajah. Menghadap kepada dua tawanan perang itu. Matanya bersinar.

“Salahuddin” Raynald mengetap bibirnya.

Salahuddin Al-Ayubi tersenyum.

“Kamu mengabaikan suratku agar memulangkan adindaku. Bahkan berkeras untuk tidak menyerah dan membunuh pula utusanku” Salahuddin bergerak melepasi dua tawanan itu.

Dia memandang jauh ke medan perang.

Mayat-mayat tentera salib sedang dikumpul untuk dibakar. Pakaian besi dan senjata mereka telah diekstrak sebagai harta rampasan. Guy of Lusignan bersama Raynald De Chatillon keluar dari Sephoria menuju ke Tiberias untuk berhadapan dengan tentera Salahuddin Al-Ayubi selepas terpancing dengan serangan Salahuddin ke atas benteng tentera salib di Tiberias. Tentera Salahuddin yang utama hakikatnya berada di tempat bernama Kafr Sabt, bersedia untuk menyerang hendak tentera salib pimpinan Guy dan Raynald.

Perjalanan yang panjang, tanpa sempat mencapai sumber air, membuatkan tentera Salib menjadi lemah. Ketika itu juga tentera Salahuddin dari Kafr Sabt bergerak menghentam mereka dari dua arah. Dalam masa dua hari, tentera mereka hancur. 

Cubaan  terakhir, mereka bergerak ke sebuah kawasan air di Hattin untuk menyusun semula tenaga mereka.
Namun Salahuddin telah menjangka semuanya. Di lembah Hattin, tentera Salib dihabisi.

Begitulah Allah mengotakan janji-janjiNya.

Di manakah Allah?

Bersama hambaNya yang percaya.

Salahuddin berpaling kembali dan merapati Guy dan Raynald. Dia memberikan isyarat kepada pembantunya agar membawakan air. Apabila air telah sampai, Salahuddin meminum air itu dan kemudian memberikan segelas air kepada Guy.

Guy mengambil dengan rakus, kerana sememangnya dia kehausan. Namun di tengah kehausannya, dia tidak lupa akan Raynald. Diberikanna sedikit air untuk rakannya itu.

Salahuddin mencelah: “Aku tidak memberikan kebenaran pun untuk itu”

Kedua mereka diam. Raynald kemudian menjawab: “Tidak. Tetapi rajaku, Guy yang memberikan aku minum”

Salahuddin tidak berkata apa-apa.

“Kau masih ingat apa yang kau katakan tahun lepas, Raynald?”

“Em, apa yang aku katakan?”

“Di manakah Allah dan Muhammad untuk membantu kamu?” Mata Salahuddin membesar.

Bulu roma Raynald menegak.

“Di sini Allah menurunkan hukumanNya buat kamu!” Salahuddin mengunuskan pedangnya, terus memeganggal kepala Raynald De Chatillon. Darah menyembur hingga membasahi tubuh Guy of Lusignan. 

Tubuh Raynald menyembah bumi dengan kepala terpisah dari diri.

Salahuddin memandang Guy.

“Raja tidak akan membunuh raja. Apakah ini tidak cukup untuk kamu mengambil pengajaran?”

Dan Salahuddin bergerak pergi.

“Kita ke Jerusalem. Menawan Al-Quds!” Sambil mengangkat tangannya. Disambut takbir yang menggempita daripada seluruh tentera.

***

November 2, 2010

Muslimah Solehah Itu Bidadari.

Bidadari syurga di atas dunia ini ~ picture by cerulean of deviant art.


Muslimah Solehah itu Bidadari

muslimah solehah itu bidadari
tersimpan kemas dalam syurga Ilahi
tidak tersentuh oleh manusia rakus mahupun jin
bersih, suci menjaga diri

muslimah solehah itu bidadari
dirinya mahal tidak mampu dibeli
hanya keimanan dan ketaqwaan maharnya nanti
maka siapa yang menolak ketinggian ini?

lembut wajahnya nur ibadah
sopan langkahnya memancar hasanah
malunya perisai mengangkat darjah
fikrahnya jelas, prinsip Ilahi tidak tergugah

muslimah solehah itu bidadari
bidadari syurga yang wujud di dunia ini
yang akan melahirkan anak-anak akhirat
mentarbiyah mereka dengan didikan syurgawi

muslimah solehah itu bidadari
bukan untuk dicari-cari atau dipuja lelaki
tetapi nanti akan berhadapan dengan Ilahi
dan apakah yang kamu wahai perempuan sudah laksanakan dalam kehidupan yang Kuberi?

0223PM
291010
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Taqwa
Puisi Muslimah Solehah itu Bidadari

October 31, 2010

From Zero To Hero








Assalamualikum wbt.

Khas ditujukan kepada semua pengunjung Blog Suraucanselor untuk sama-sama memperbaiki solat kita dan meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.

Semoga berjaya dalam peperiksaan Akhir dan mohonlah pertolongan dari Allah SWT kerana sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Posted by : Asma Ismahani



 PETUA KHUSYUK

 

 


Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-
yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2]. Firman-Nya lagi:-
"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238]dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Firman Allah lagi:-
yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]
 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan". Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:
 
1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.
 
2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.
 
3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
 
4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya. 

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi(Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.
 
8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
 
9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.
 
10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.
 
12. Mengambil wuduk dengan sempurna.
 
13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
 
14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
 
15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
 
Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
 
Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik)seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."
 
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

October 28, 2010

khas buat teman-teman seperjuangan Kolej Canselor.

[Posted by: Siti Shawaliza Binti Mohd Badaron]

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin...Segala Puji-Pujian Bagi Allah...Tuhan Pentadbir Seluruh Alam...

Sajak ini ditujukan khas buat teman-teman seperjuangan Kolej Canselor. Semoga kalian sentiasa dalam pemeliharaan Allah dan sentiasa  dilimpahkan rahmat Allah..InsyaAllah..


"Orang yang berjihad kerana ALLAH..
Jiwanya takkan layu..
Jiwanya takkan lesu...jiwanya tak mudah patah lalu goyah...
Kerana jalan tarbiyyah yang dia lalui adalah ketaatan kepada ALLAH..
Seorang pemburu syahid...
Dibelakangnya tertegak syariat cinta kepada ALLAH...
Takkan senang baginya untuk cair kerana dunia...
Sedangkan buruannya adalah hari akhirat..
Biarpun dia seolah2 rasa keseorangan..
Biarpun dia terasa seolah2 terlau penat...
Biarpun dia terasa seolah2 hilang penyusunan jadual kehidupan..
Biarpun dia merasakan seolah2 hilang daya kekuatan..
NAMUN...
ALLAH SWT kuatkan dia dihadapan manusia..
Walaupun dia selalu melutut lemah disisi ALLAH..
Sujudnya dengan penuh air mata..
Dia seorang perwira...
Pemburu cinta sang Pencipta...
Dalam sarang hatinya hanya dipenuhi cinta ILLAHI...
Kerana rasa CINTA ILLAHI itulah...
Kerana ketaatan kepada NABI SAW itulah...
Kerana keyakinan kepada AL-QURAN itulah...
Dia memilih jalan perjuangan...
Ingin sekali merasa akrab bersama NABI SAW ....
Dengan cara mencontohi suka duka perjuangan NABI SAW..
Biarpun dirinya seolah2 tiada riangnya..
Tiada normalnya...
Tiada rehatnya...
Namun apabila bekerja untuk ISLAM...
Seolah2 dia cuti sepanjang masa...
Seolah2 dia rehat setiap ketika...
Kerana apa yang dia lakukan adalah untuk berehatkan di akhirat sana...
Ku kagum pada dirinya...
Menginfaqkan diri untuk perjuangan ISLAM...
Tetap tinggi keyakinan pada ALLAH...
Tetap positif membina kekuatan..
Walaupun getir hidup hanya dikongsi dengan TUHAN..."

October 27, 2010

Mana Tuhan Kamu II


Cerpen : Mana Tuhan Kamu


Tahun 1186. Di tengah sahara antara Kairo dan Damascus. Satu kafilah bergerak merentas bumi gersang di bawah terik mentari. Langit biru tanpa awan menambah hangat.

“Kafilah mereka sudah berada dalam pandangan kita, tuanku.”

Seorang lelaki bertubuh besar berjanggut kerinting keemasan memandang kepada pelapor. Dia mengangguk. “Ya, aku tahu”

“Bila kita hendak bertindak?”

Lelaki itu tersengih. “Tunggu arahan aku. Arahkan tentera kita berkumpul terlebih dahulu.” Bicaraya sambil memandang karavan tunggal di tengah padang pasir yang luas.

“Hari ini, orang Islam akan tahu betapa mereka hakikatnya tidak punya kuasa” Dia ketawa.

Tidak lama kemudian, si pelapor datang semula. “Semua tentera kita telah bersedia, tuanku!”

“Bagus. Dengan namaku, Raynald De Chatillon, serang!” Dia mengacukan pedangnya ke arah kafilah yang sedang bergerak itu.

Tenteranya bergerak ibarat taufan yang menyerbu. Debu-debu sahara naik membuatkan langit biru kelihatan perang. Jeritan ahli kafilah kedengaran melantun-lantun diiringi teriakan kesakitan. Darah merah memercik di sana sini menghiasi medan.

Raynald De Chatillon ketawa berdekah-dekah. Pengawal-pengawal karavan yang sedikit tidak mampu berhadapan dengan tenteranya. Satu persatu tumbang. Bahkan, ahli-ahli kafilah turut dibunuh tanpa berbelas kasihan.

“Tinggalkan seorang sahaja. Adik kepada Salahuddin Al-Ayubi, dia mesti menjadi tawanan kita!”

Dan hari hitam di tengah sahara itu berakhir dengan penuh tragis. Barang-barang dirampas. Haiwan tunggangan diambil. Ahli kafilah perempuan dirogol dan dibunuh. Yang lelaki dipenggal kepala semuanya. Tandu-tandu dibakar. Suasana persis neraka.

“Ini dia Tuanku Raynald. Adik kepada Salahuddin” Seorang perempuan memakai burqa ditolak dengan belakang pedang menghadap Raynald.

Raynald segera menghunus pedangnya yang masih berlumuran darah. Segera dicantas burqa perempuan di hadapannya. Terserlah wajah perempuan itu yang bersih.

“Adik Salahuddin. Di manakah Allah dan Muhammad kamu hari ini? Panggil lah mereka”

Adik Salahuddin senyap. Namun wajahnya tidak menunjukkan riak takut.

“Allah akan menguruskan kamu wahai Raynald!” Bicaranya berani selepas memandag wajah Raynald dihiasi tawa angkuh.

Gelak Raynald tambah berdekah.

“Selepas ini, aku akan ke Makkah untuk merobohkan Ka’bah, dan ke Madinah untuk mengorek kubur Muhammad. Baru kamu tahu betapa lemahnya kamu!”

Dan Raynald membawa adik Salahuddin bersamanya.

***

Bersambung.



October 26, 2010

Mengukur sebuah Cinta

Mengukur Sebuah Cinta



(Hidup itu satu hala, iaitu menuju keredhaan Allah)

Kisah ini diungkap dalam Kitab Hayatus Shahabah, halaman 524-525 diriwayatkan kisah berikut: 

Menjelang Perang Uhud, Abdullah bin Jahsy mengajak sahabatnya,iaitu Sa’d bin Abi Waqqash untuk berdoa. Ajakan itu dipersetujui oleh Sa’d. Keduanya mulai berdoa. Sa’d berdoa terlebih dahulu:

“Tuhanku, jika nanti aku berjumpa dgn musuhku, berilah aku musuh yg sangat perkasa. Aku berusaha membunuh dia dan dia pun berusaha membunuhku. Engkau berikan kemenangan kepada aku sehingga aku berhasil membunuhnya dan kemudian mengambil miliknya (sebagai rampasan perang).”

Abdullah mengaminkannya doa berkenaan. Tiba giliran Abdullah pula berdoa:

“Tuhanku, berikan aku seorang musuh yang gagah perkasa. Aku berusaha membunuhnya, dan ia berusaha membunuhku. Kemudian dia memotong hidung dan telingaku. Kalau nanti aku bertemu denganMu, Engkau akan bertanya: ‘Man jada’a anfaka wa udzunaka?’ (Siapa yang telah memotong hidung dan telingamu?). Aku akan menjawab bahawa keduanya terpotong ketika aku berjuang di jalanMu dan jalan Rasulullah (fika wa fi rasulika). Dan Engkau, ya Allah akan berkata: ‘Kamu benar!’ (shadaqta).”

Sa’d mengaminkan pula doa Abdullah tersebut. Keduanya berangkat ke medan Uhud dan doa keduanya dimaqbulkan Allah.

Sa’d bercerita kepada anaknya, “Duhai anakku, doa Abdullah lebih baik daripada doa ku. Di senja hari aku lihat hidung dan telinganya tergantung pada seutas tali.”
Kisah ini telah melukiskan sebuah cara untuk mengukur cinta kita pada Allah. Sementara ramai yg berdoa agar mendapat ini dan itu, seorang pencinta sejati akan berdoa agar dapat bertemu dengan Kekasihnya sambil membawa sesuatu yang akan membanggakan.
Ketika di Padang Mahsyar nanti Allah bertanya kepada anda: “Dari mana kau peroleh hartamu di dunia?” Anda akan menjawab, “Harta itu ku peroleh dengan  sumber yang tidak elok dan menyeleweng.”

Allah bertanya lagi, “Apa saja yg tlh engkau lakukan di dunia?”
“Aku hiasi hidup ku dengan dosa dan dusta, tak henti-hentinya ku cintai indah dan gemerlapnya dunia hingga aku dipanggil menghadapMu.” Allah dengan murka akan menjawab, “Kamu benar!”

Bandingkan dengan seorang hamba lain yang ketika di Padang Mahsyar berkata kepada Allah:
“Telah ku tahan lapar dan dahaga di dunia, telah ku basahi bibirku dengan zikir, dan telah ku curahkan waktu dan tenagaku untuk keagungan namaMu, telah ku hiasi malam ku dengan ayat suciMu dan telah ku letakkan dahiku di sejadah untuk bersujud pada kebesaranMu.”
Dan Allah akan menjawab, “Kamu benar!”

Duhai.. adakah kebahagian yang lebih dari itu; ketika seorang hamba menceritakan amalnya dan Allah akan membenarkannya.

Mahukah kita pulang nanti ke kampung akhirat dengan membawa amal yang akan kita banggakan? Mahukah kita temui Kekasih kita sambil membawa amalan yang akan menyenangkanNya?

Sumber: sirah.blogsome.com

October 24, 2010

Mana Tuhan Kamu

Di manakah Tuhan Kamu? Dia ada di sisi aku. Siapakah yang percaya? ~ Picture by Kienzan of Deviant Art


Cerpen: Mana Tuhan Kamu?

Tahun 837. Kota Amoria, Romawi. Seorang muslimah berjalan dengan tenang di tengah pasar. Membeli barangan untuk tuan yang memilikinya. Dia merupakan hamba tawanan perang dan telah dijual. Kini meneruskan hidup menjadi hamba sahaya menguruskan hal ehwal rumah tuannya.

Tanpa dia sedari, ada mata-mata memerhatikan gerak langkahnya. Peribadinya yang berbeza membuatkan dia menjadi tarikan. Rambut tidak terdedah dilitupi kain penuh beradab, pakaian labuh tidak menonjol bentuk tubuh, dia nyata adalah yang ganjil di tengah pasar Kota Amoria.

“Aku kira, hari ini adalah harinya. Sudah lama aku menahan rasa” Bicara seorang pekedai kepada temannya dengan mata penuh dendam kepada muslimah itu.

“Ya. Mari. Sudah berminggu-minggu aku perhatikannya. Tersirap darah aku saban kali melihatnya” Rakan pekedai itu mengepal kedua belah penumbuk.

“Kita tidak perlu takut. Amoria adalah tanah kita. Semua di pasar ini akan menyokong kita!” Pekedai itu bergerak. Rakannya membuntuti.

Semakin lama semakin mendekat. Muslimah itu tidak menyedari, melainkan apabila telinganya menangkap seruan dari belakang.

“Wahai perempuan!” Segera muslimah itu berpaling untuk melihat. Tetapi terkejutnya dia apabila kedua tangannya pantas ditangkap.

“Lepaskan, lepaskan!” Perempuan itu didorong ke dinding berdekatan. Suasana pasar yang memang riuh menjadi semakin hangat apabila keadaan ini berlaku.

Si Pekedai mengikat kedua belah tangan Muslimah pada palang kedai berdekatan.

“Jangan apa-apakan aku!” Muslimah itu menjerit sayu. Mata-mata di pasar sekadar memandangnya kaku. Semua diam seperti batu.

“Hari ini, siapakah yang akan menyelamatkan kamu?” Pekedai itu menjerit diiringi ketawa berdekah-dekah. Tangannya bergerak pantas melucutkan kain yang melitupi kepala sang muslimah. Terserlahlah rambut panjang melepasi bahu yang perang. Warna rambut asli perempuan dari mediterranean.

“Jangan, jangan!” Air mata perempuan itu mengalir deras. Tiada yang membantu. Semua hanya melihat.

Rakan kepada pekedai bertindak dengan lebih jauh. Menyelak kain yang menutupi bahagian bawah pinggang perempuan itu dan mengoyakkannya.

“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Dia menjerit kuat.

“Lihat semua, inilah dia orang Islam yang hina. Percaya kepada yang tiada. Percaya kepada yang tidak berguna!” Pekedai tadi memandang sekeliling.

Air mata perempuan itu kabur dengan titisan air mata. Maruahnya diinjak sedemikian rupa. Dari kaburan matanya itu, dia menyangka bahawa keadaannya mendapat simpati manusia di sekelilingnya. Tetapi, tidak lama selepas jeritan lelaki itu, satu pasar mentertawakan keadaannya. Bahkan ada yang membalingnya dengan tomato.

“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Seluruh pasar menjerit menghinanya.

Hatinya remuk.Ya Allah, sesungguhnya hamba-hambaMu ini menghinaMu…

Maka dengan kekuatannya yang masih bersisa, dia menjerit sekuat jiwanya.

“Waa Mu’tasimah. Waa Mu’tasimah. (Di mana kamu Al-Mu’tasim? Di mana kamu Al-Mu’tasim?)!”

Dan jeritannya disambut hinaan dan ejekan.

Namun dalam lautan manusia berhati syaitan itu, ada sepasang mata yang memerhatikan. Segera pemilik mata itu bergerak meninggalkan tempat itu. Berjalan mendapatkan tunggangannya. Kemudian bergerak pantas keluar dari Kota Amoria, menuju ke satu tempat bernama Samarrah. Tempat bersemayamnya manusia bernama Abu Ishaq Al-Mu’tasim bin Harun Ar-Rasyid.

Atau lebih dikenali sebagai Khalifah Al-Mu’tasim.

***

Bersambung.