Pages

November 7, 2010

Apabila keperluan muncul, ia bergeseran dengan ikhlas.

Ikhlaskah kamu dalam memberikan sesuatu? tepuk dada, tanya iman. ~ Picture by BeciAnne of DeviantArt



Keikhlasan. Kalau kita ceramah, mungkin kita boleh syarahkan berkenaan ikhlas selama tiga hari tiga malam. Tetapi mempraktiskannya? Mungkin sebahagian orang akan berkata senang sahaja. Tetapi wujud sebahagian manusia akan membicarakan kesukarannya dalam mengikhlaskan diri.

Orang-orang yang hakikatnya tidak pernah mengalami kesukaran untuk mengikhlaskan diri, sebenarnya tanpa mereka sedari, mereka belum lagi berada di medan yang sebenar.

Hal ini kerana, jika anda mampu mengikhlaskan diri tanpa ada halangan menarik anda keluar dari keikhlasan, maka itu bukannya satu perkara yang boleh anda banggakan atau nampak sebagai pencapaian yang memuaskan. Samalah dengan orang yang beribadah di dalam gua, berbanding dengan orang yang mengajak ke jalan Allah di tengah kota. Keikhlasan yang terbina hasil dari perjuangan adalah ikhlas yang berkualiti.

Bilakah keikhlasan benar-benar teruji?

Bila wujudnya keperluan lain dalam beramal.


Perkongsian dengan manusia yang berjuang.

“Masa enta tak perlukan duit, enta boleh kata tak ada kesukaran dalam mengikhlaskan diri. Dalam hati enta memang tak ada langsung rasa perlu kepada duit, nak pada duit, sebab enta dah ada duit. Jadi enta buat kerja, tanpa fikir sikit pun akan hal itu.”

Saya mengangguk-angguk.

“Tetapi, apabila sampai satu waktu, duit merupakan keperluan dalam hidup enta. Enta perlukan duit nak sara anak, sara isteri, sara keluarga. Dalam pada masa yang sama, enta langsung tak ada duit. Duit enta sangat sikit. Apabila ada orang panggil enta pergi program, bagi ceramah, buat talk, agak-agak macam mana?”

Dan saya terkedu.

Dan yang berkongsi itu berkata:
“Bila berada dalam situasi itu, barulah bicara perihal ikhlas. Ikhlas yang sebenar, dilihat pada situasi yang demikian.”


Setiap perkara ada dua situasi

“Teori dan praktis. Itu adalah dua situasi. Enta akan nampak satu perkara itu, punya dua definisi berdasarkan dua situasi yang berbeza. Definisi semasa praktis, dan definisinya semasa teori. Mungkin dahulu sebelum enta bergeser dengan keperluan, enta nampak ikhlas itu begini dan begitu. Tetapi bila enta benar-benar bergeser dengan keperluan, enta akan nampak ikhlas itu dalam bentuk yang lain pula. Dan masa itu enta akan nampak, apakah ikhlas yang sebenar. Medannya, keperluan untuk ikhlas dan sebagainya.”

Benar dan benar. Saya hanya mampu mengangguk.


Besarnya ikhlas kepada orang yang beriman

Ada orang berkata: “Alah, buat apa susah-susah fikir fasal ikhlas ke tak ikhlas? Tak fikir langsung kan bagus? Buat pening sahaja. Asal kerja jalan sudah.”

Ya. Mungkin kita nampak, ‘benda-benda tidak nampak’ ini melecehkan.

Tetapi ikhlas hakikatnya adalah syarat utama mencapai ISO yang Allah tetapkan. Ikhlas menjamin kelangsungan kerja yang berpanjangan, kekuatan diri dalam melaksanakan amalan dan mempertahankan diri dari keputus asaan dan kekecewaan.

Ikhlas ini besar kerana silap di dalam ikhlas, akan membawa kita ke pengakhiran yang berlainan. Ini terbukti apabila ‘niat’ dianggap sangat-sangat besar dan penting di dalam Islam. Lihatlah dalam apa kitab hadith sekalipun. Biasanya yang dimulakan adalah hadith berkenaan niat.

“Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berniat berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka dia akan berhijrah kepada Allah dan rasulNya. Tetapi sekiranya dia berniat berhijrah kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hendak hijrah kepadanya.” Hadith sohih muttafaq alaih.


Keikhlasan adalah penting. Besar kepada orang yang beriman yang berhajatkan redha Allah SWT. Yalah, sekiranya niatnya salah, maka redha Allah bukan berada dalam genggamannya. Sekiranya niatnya salah, maka segala amal adalah sia-sia dan tidak dikira.

Maka mengapa perkara ini tidak diperhatikan?


Kadangkala kita rasa kita sudah cukup ikhlas

Ada waktu, kita rasa kita sudah cukup ikhlas. Berhati-hatilah. Sebab mungkin kita mampu merasakan demikian kerana kita belum diuji. Ikhlas dalam beramal ini ibarat air susu yang keluar antara saluran najis dan darah. Ia tetap putih bersih tidak tercemar, bahkan rasa darah atau bau najis pun tidak keluar bersama dengannya.

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan(najis) dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” Surah An-Nahl ayat 66.

Ikhlas adalah demikian. Dari celah-celah ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran yang menarik kita jauh dari keihlasan kita kepada Allah SWT, ikhlas terpancar bersih daripada luhur jiwa dan amalan kita. Ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran, itu semua mendidik kita mengenali ikhlas dengan lebih mendalam, dan mengangkat kita pada satu tahap keikhlasan yang baru.

Maka siapakah antara kita yang berusaha menjaga keikhlasannya?


Penutup: Maka perhatikanlah dirimu, saat pergeseran berlaku.

Maka kita perhatikan diri kita. Pada saat-saat pergeseran antara keinginan untuk ikhlas, dan keperluan yang mendesak datang. Maka di situlah kita ukur kualiti diri kita yang sebenar. Di situlah titik ujian dan muhasabah.
Apakah kita mampu untuk ikhlas?

Atau kita ada perasaan untuk memproses lagi diri kita?

Apabila kita faham makna ikhlas, dan keperluannya dalam kehidupan kita sebagai hamba, maka kita akan berusaha menjaganya sebaik mungkin, dan berusaha mewujudkannya dengan kesungguhan yang tidak terkira. 

Sumber : Hilal Asyraf

0 comments:

Post a Comment