Pages

October 27, 2010

Mana Tuhan Kamu II


Cerpen : Mana Tuhan Kamu


Tahun 1186. Di tengah sahara antara Kairo dan Damascus. Satu kafilah bergerak merentas bumi gersang di bawah terik mentari. Langit biru tanpa awan menambah hangat.

“Kafilah mereka sudah berada dalam pandangan kita, tuanku.”

Seorang lelaki bertubuh besar berjanggut kerinting keemasan memandang kepada pelapor. Dia mengangguk. “Ya, aku tahu”

“Bila kita hendak bertindak?”

Lelaki itu tersengih. “Tunggu arahan aku. Arahkan tentera kita berkumpul terlebih dahulu.” Bicaraya sambil memandang karavan tunggal di tengah padang pasir yang luas.

“Hari ini, orang Islam akan tahu betapa mereka hakikatnya tidak punya kuasa” Dia ketawa.

Tidak lama kemudian, si pelapor datang semula. “Semua tentera kita telah bersedia, tuanku!”

“Bagus. Dengan namaku, Raynald De Chatillon, serang!” Dia mengacukan pedangnya ke arah kafilah yang sedang bergerak itu.

Tenteranya bergerak ibarat taufan yang menyerbu. Debu-debu sahara naik membuatkan langit biru kelihatan perang. Jeritan ahli kafilah kedengaran melantun-lantun diiringi teriakan kesakitan. Darah merah memercik di sana sini menghiasi medan.

Raynald De Chatillon ketawa berdekah-dekah. Pengawal-pengawal karavan yang sedikit tidak mampu berhadapan dengan tenteranya. Satu persatu tumbang. Bahkan, ahli-ahli kafilah turut dibunuh tanpa berbelas kasihan.

“Tinggalkan seorang sahaja. Adik kepada Salahuddin Al-Ayubi, dia mesti menjadi tawanan kita!”

Dan hari hitam di tengah sahara itu berakhir dengan penuh tragis. Barang-barang dirampas. Haiwan tunggangan diambil. Ahli kafilah perempuan dirogol dan dibunuh. Yang lelaki dipenggal kepala semuanya. Tandu-tandu dibakar. Suasana persis neraka.

“Ini dia Tuanku Raynald. Adik kepada Salahuddin” Seorang perempuan memakai burqa ditolak dengan belakang pedang menghadap Raynald.

Raynald segera menghunus pedangnya yang masih berlumuran darah. Segera dicantas burqa perempuan di hadapannya. Terserlah wajah perempuan itu yang bersih.

“Adik Salahuddin. Di manakah Allah dan Muhammad kamu hari ini? Panggil lah mereka”

Adik Salahuddin senyap. Namun wajahnya tidak menunjukkan riak takut.

“Allah akan menguruskan kamu wahai Raynald!” Bicaranya berani selepas memandag wajah Raynald dihiasi tawa angkuh.

Gelak Raynald tambah berdekah.

“Selepas ini, aku akan ke Makkah untuk merobohkan Ka’bah, dan ke Madinah untuk mengorek kubur Muhammad. Baru kamu tahu betapa lemahnya kamu!”

Dan Raynald membawa adik Salahuddin bersamanya.

***

Bersambung.



2 comments:

Anonymous said...

salam
ini karya asal tuan hamba atau nukilan yg di upload.....terima kasih kerana upload..sungguh menarik

Syiifa said...

wasalam.

ini nurkilan hamba Allah yang lain. diupload sebagai perkongsian bersama.

Post a Comment