Pages

October 21, 2010

Cinta Ilahi

Erti Cinta
By : Asma Ismahani
 
        "Cinta yang sejati & suci tidak memerlukan 'physical contact' yang boleh merosakkannya, sebaliknya ia terbina atas dasar iman, CINTA Ilahi dengan matlamat yang murni dan benar iaitu untuk menjadi pasangan yang sah serta melalui jalan2 yang tidak melanggar undang2 syariat, walaupun ia mungkin hanya bertaut di dasar hati." Hakikatnya, bercinta tidak salah melainkan kita sendiri yang menjadikannya salah. Bahkan dapat difahami bahawa rasa kasih sayang adalah fitrah manusia seperti mana jasad memerlukan makanan dan akal memerlukan santapan ilmu pengetahuan. Kasih sayang adalah fitrah yang memerlukan hidayah (petunjuk) supaya fitrah ini tidak sampai menjadi fitnah!


        Cinta adalah anugerah (hadiah) daripada Allah s.w.t. Sebagai penerima hadiah, sudah tentulah kita perlu menghargai pemberi hadiahnya dahulu sebelum menghargai hadiah yang yang diberi. Oleh itu, CINTA Allah s.w.t perlu diutamakan dalam persoalan ini, iaitu bukan sahaja dengan mengakui bahawa Tuhan adalah Pencipta cinta bahkan sebagai pengatur dan fokus pengabdian diri seluruh kecintaan.


        Cinta diciptakan bukan untuk suka-suka, tetapi sebagai salah satu jalan bagi mencapai keredhaan Yang Esa. Di setiap laluan perjalanan ini, sudah tentulah tercacak pelbagai jenis 'signboard', merujuk kepada peraturan yang perlu dipatuhi agar kita tiba ke destinasi cinta dengan selamat. Antara peraturan utama dalam bercinta ialah mendasari tiap cinta kepada  CINTA Allah dan memastikan tiada hukum-Nya yang dilanggar dan diperlecehkan, meskipun mungkin pada pandangan nafsu dan emosi, batas-batas cinta ini amat menyukarkan. Ingatlah duhai pencinta;

"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) , Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.."
(al-Baqarah: 216)

        Cinta sejati hanya akan tiba andai masa, tempat, keadaan dan calon telah sesuai. Ia tidak perlu dicari. Dalam memilih pasangan, Rasulullah s.a.w juga telah memberi petua terbaik iaitu dengan menilai berasaskan kecantikan, harta, keturunan dan ketaatan mereka dalam beragama. Cukuplah sekadar bersederhana dalam lain-lain hal, tetapi yang utama adalah keindahan akhlaknya pada pandangan insan dan ketinggian taqwanya pada pandangan Tuhan. Inilah juga ciri-ciri pasangan yang diperintah untuk dinikahkan.

        Malah cinta sejati itu sebenarnya adalah datang dari hati dan terpancar ke mata, bukan dari mata turun ke hati, kerana hatilah yang sebenarnya mengawal mata dengan pandangan iman, bukan sebaliknya. Sedarilah bahawa mata kepala hanya memandang wajah manis yang tetap akan berkedut dan wang ringgit yang tetap akan hangus, sedangkan mata hati jua yang mengenal sebaik-baik akal budi pasangan hidup.

        Rahsia untuk mengekalkan rasa cinta terhadap insan hanya dua, iaitu rindu untuk bertemu dan melakukan apa sahaja yang disuruh. Apa yang lebih penting dan utama adalah untuk mengekalkan rasa CINTA kepada Allah dan Rasul-Nya, rindu untuk bertemunya di akhirat sana, rindu dengan bermunajat di sepertiga malam, rindu untuk menghadap-Nya dalam solat juga melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

0 comments:

Post a Comment