Pages

March 13, 2011

Bagaimana Jika Wanita Ingin Melamar Lelaki

Alhamdulillah ku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt kerana diberi kekuatan dan hidayah. Selawat dan salam untuk junjungan Mulia Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga serta sahabat baginda. Ya Allah, ampunkanlah dosa dan kesalahanku kerana kejahilan dan sifatku yang lemah. Ampunkanlah juga dosa kedua ibu dan ayahku dan rahmatilah mereka seperti mana mereka telah mengasihini diriku sejak aku dilahirkan.

Alhamdulillah, kali ini saya akan berkongsi pandangan dengan saudara semua berkaitan dengan tajuk di atas. Ini kerana topik ini sering diperhebat dan diperhangatkan oleh ramai sahabat-sahabat ana di atas beberapa faktor. Maklumlah, setiap kali cuti sekolah, cuti raya dan pelbagai cuti lagi, tidak sah jika kita tidak dijemput untuk menghadiri mana-mana majlis kenduri perkahwinan baik saudara kita, sahabat handai kita dan juga jiran tetangga. Pendek kata, cuti adalah ruang dan masa untuk mendirikan istana rumah tangga.

Namun dalam melangsungkan rumah tangga, syarat wajib bagi sesuatu ijab qabul berlaku adalah kerana adanya mereka yang ingin berkahwin, dalam erti kata yang mudah mesti ada pasangan untuk berkahwin iaitu si dara dan teruna. Dalam era alaf 21, dunia mengalami krisis di mana lelaki kurang. Namun di Malaysia, perkara seperti ini masih belum berada pada tahap kritikal di mana lelaki masih lagi mampu bertahan dan jika diikut nisbah pun lelaki masih lagi ramai. Walau bagaimana pun, bumi Malaysia menyaksikan kekurangan berlaku pada lelaki yang berkerjaya. Hal ini diakui diperingkat universiti lagi yang mana krisis kepupusan lelaki amat nyata jika dibandingkan dengan kaum hawa. Hal ini seterusnya membawa kepada alam kerjaya yang mana di dalam bidang profesional majoriti jawatan telah diambil alih oleh kaum wanita.

Krisis ini telah menimbulkan pelbagai masalah jika tidak terkawal. Ini kerana timbul juga masalah krisis moral dan akhlak di kalangan pelajar-pelajar sekolah adalah berpunca daripada kekurangan mereka yang bergelar lelaki sebagai pendidik. Namun kali ini bukan soal ini yang ingin ana kongsikan dengan semua. Berbalik kepada tajuk, Patutkah wanita melamar lelaki? Satu persoalan yang merisaukan diri yang bergelar hawa kerana mereka inginkan seorang lelaki sebagai teman dihati bagi menghiburkan jiwa yang sepi, dan sebagainya, kerana fitrah manusia yang bergelar lelaki memerlukan wanita begitu juga mereka yang bergelar wanita memerlukan lelaki. Ana pernah bertanya kepada lebih 30 wanita dan semuanya menyatakan mereka inginkan kepada lelaki yang berkerjaya dan baik akhlak dan perangainya. Sedikit sahaja yang inginkan lelaki yang dari kalangan ahli agama seperti mereka yang hafiz al-Quran. Manakala teramat sedikit mereka yang inginkan lelaki yang biasa sahaja dengan maksud lelaki yang tidak bekerjaya yang penting ianya lelaki.

Bagi lelaki, inilah peluang keemasan mereka kerana harga mereka telah melambung naik di pasaran saham mereka. Apa yang penting mereka itu perlu beriman dan baik akhlaknya. Ini kerana rata-rata wanita inginkan lelaki yang baik dan bersopan. Namun hari ini dunia Malaysia juga menyaksikan ramai lelaki yang kurang arif dalam ilmu agamanya, apatah lagi untuk menjadi hafiz al-Quran. Ramai lelaki yang jahil ilmu agama dan yang lebih parah lagi ialah mereka yang telah rosak akhlak dek kerana dikatakan mengikut arus kemodenan. Pendek kata jika kaum wanita memperolehi lelaki yang hafiz al-Quran dan ilmuan Islam, mereka telah memperolehi permata di dunia yang pasti menjadi bekalan hingga ke syurga.

Bagi wanita, jika anda mempunyai kawan atau sahabat atau jiran yang digelarkan sebagai permata Agama (mahir dalam ilmu agama dan baik akhlaknya) maka peganglah(buatlah ikatan) dengan mereka jika anda inginkan keluarga yang bahagia hingga ke syurga. Anda boleh melamar mereka dan jika malu (kerana sifat anda sebagai seorang wanita) maka hantarlah wakil anda untuk menyatakan isi hati anda terhadapnya. Ini kerana anda telah mendapati banyak kebaikan demi kebaikkan yang ada pada dirinya, maka buatlah ikatan dengannya dan jangan sesekali anda menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah swt setelah ikatan itu dibuat. Ini kerana yang menghalalkan antara anda dengan si dia hanyalah melalui ikatan perkahwinan sahaja. Anda sebagai wanita harus melamar lelaki, hal ini dibuktikan sendiri oleh Saidatina Khadijah bt Khualid yang mana beliau sendiri yang telah melamar nabi Muhammad saw atas dasar beliau mendapati banyak kebaikkan dan kejujuran yang ada pada lelaki yang bernama Muhammad ini.

Bagi wanita, lebih baik anda menghantar wakil untuk menyatakan isi hati anda terhadap dia dan yang lebih baik ialah melalui ahli keluarga anda. Ini kerana pertalian keluarga sebenarnya lebih suci sesuatu ikan itu dimetrikan dan seseorang lelaki jarang membuat hal-hal yang tidak elok atas dasar perhubungan yang dibina itu melalui keluarga. Ingatlah wahai kaum wanita, jarang sangat anda bertemu dengan lelaki yang jujur jika pertemuan itu dibuat sendiri atas dasar nafsu semata-mata. Kebanyakkan lelaki adalah ingin mengambil kesempatan ke atas kelemahan dirimu jua untuk memuaskan nafsunya semata-mata. Namun jika perhubungan itu melalui orang tua kamu, maka amatlah risau di dalam hatinya untuk melakukan hal yang tidak elok kerana orang tua mu menjalinkan hubungan dengan orang tuanya.

Sebenarnya adat melayu sahaja yang menggunakan istilah perigi mencari timba sehinggakan orang kita takut melanggar pantang larang tersebut. Sepanjang menjalani pemerhatian berkaitan hal ini, ada juga wanita yang menyatakan jika mereka yang melamar lelaki, maka mereka telah menjatuhkan air muka mereka dan hal ini sudah terbalik sehingga ada yang mengumpamakan seperti hujan telah naik kelangit. Wal hal dunia hari ini telah menyebabkan semuanya berubah, dan jika kita tidak mahu perubahan tinggallah kita bersendirian dan akhirnya yang menjadi suami kita adalah orang yang tidak berperancangan dan tiada masa depan yang jelas. Dan yang lebih parah lagi yang inginkan kita adalah mereka yang berlatar belakang yang tidak elok akhlak dan dirinya. Wanauzubillahi min za lik...

Oleh yang demikian, hari ini saya ingin berpesan kepada kawan-kawanku, pembaca dan sesiapa sahaja yang bergelar wanita, lamarlah lelaki yang telah kamu yakin mereka dapat membahagiakanmu yang mana mereka ada ilmu agama dan baik akhlaknya dan jangan kamu menunggu mereka melamar kamu. Ini kerana persaingan yang terpaksa kamu hadapi ialah betapa sengitnya kerana ramai dikalangan kamu yang jauh lebih berjaya dan ramai lelaki inginkan mereka yang berjaya dari kalangan isteri mereka. Oleh itu, lamarlah mereka dan ikatlah perhubungan secara yang sah dengan mereka agar mereka dapat membahagiakan kamu di dunia dan di akhirat. Jangan tunggu hingga esok kerana esok belum pasti dia datang padamu. Oleh itu bersegeralah kamu kerana ini peluang kamu dan ingatlah, jangan sesekali kamu menyerahkan segala-galanya kepada lelaki kerana lelaki suka mengambil kesempatan kepada mu. Ingatlah pintu kebaikkan dan keburukan ada padamu wahai kaum wanita.
Sumber : Nur Diufuk Timur