Pages

November 9, 2010

Jabir Menjamu Tetamu



Gambar sekadar hiasan

JABIR bin Abdullah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad. Beliau sudah berumah tangga. Beliau seorang yang berhati mulia.

Semasa orang Islam di Kota Madinah sibuk menyelamatkan Madinah daripada serangan kafir Quraisy Mekah, salah satu kaedah yang digunakan ialah menggali parit. Ia bertujuan menghalang serangan musuh Islam.

Idea menggali parit itu dicadangkan oleh Salaman al-Farisi. Menurut sejarah Islam, pada tahun itu, tercetusnya perang yang dikenali sebagai Perang Khandak. Perkataan Khandak diambil sempena nama parit yang digali oleh orang Islam Madinah.

Kerja menggali parit dilakukan oleh 1,000 orang penduduk Islam Madinah. Mereka melakukannya dengan penuh semangat supaya pihak musuh dapat ditewaskan. Jabir bin Abdullah adalah antara salah seorang daripada penggali parit itu.

Turut serta adalah Nabi Muhammad sendiri. Baginda tidak duduk diam atau memberi arahan semata-mata. Tetapi baginda juga bekerja keras supaya parit itu dapat disiapkan dengan segera.

Hari semakin panas. Orang Islam berusaha menggali parit dengan sedaya upaya mereka. Selepas selesai, mereka semua berehat kerana letih dan penat. Jabir melihat keadaan Nabi Muhammad yang juga kelihatan penat.

"Nampaknya Nabi Muhammad sudah penat. Kelihatan baginda sangat lapar. Baik saya sediakan makanan bagi Nabi Muhammad," bisik Jabir seorang diri.
Tanpa membuang masa, Jabir segera pulang ke rumah. Beliau terus mendapatkan isterinya yang pada masa itu berada di dapur.

"Wahai isteriku, adakah barang makanan yang dapat kita sediakan bagi Nabi Muhammad? Selepas menggali parit tadi, saya lihat Nabi Muhammad penat dan berada di dalam keadaan lapar. Saya berhajat menyediakan makanan baginya," kata Jabir kepada isterinya.

"Di rumah kita hanya ada sebungkus kecil gandum. Di luar rumah, ada seekor kambing yang masih kecil," jawab isterinya sambil menunjukkan bungkusan kecil gandum kepada suaminya.

"Saya rasa gandum ini cukup untuk diberikan sebagai makanan kepada Nabi Muhammad. kamu masaklah gandum ini dengan masakan yang istimewa. Sementara saya pergi ke luar rumah menyembelih kambing itu," jelas Jabir kepada isterinya.

"Suamiku, kambing itu masih kecil. Bukankah kita mahu menunggu hasil daripada kambing itu?" Tanya isterinya.

"Tidak mengapa, isteriku. Allah menambah rezeki kepada kita apabila kita membantu orang lain. Kita patut sentiasa bersyukur," jawab Jabir pula.

Mendengar penjelasan itu, isterinya segera menggiling gandum dan dijadikan tepung. Sementara Jabir pergi ke tempat kambingnya dan terus menyembelihnya. Selesai melapah kambing itu, Jabir membawa daging kambing itu ke dapur rumahnya.

"Sudahkah kamu menguli tepung gandum itu?" Tanya Jabir.

"Sudah," jawab isterinya.

"Kambing itu kita masak dengan masakan yang sedap supaya Nabi Muhammad gembira menikmati hidangan yang kita sediakan ini," ujar Jabir kepada isterinya.
"Baiklah, suamiku," jawab isterinya sambil mengambil daging kambing itu.

Kemudian, Jabir keluar semula menemui Nabi Muhammad. Sebelum Jabir keluar, isterinya berpesan: "Suamiku, jemputlah Nabi Muhammad sahaja, jangan jemput orang lain kerana makanan itu tidak cukup bagi orang yang ramai itu."

"Baiklah," kata Jabir sambil berlalu pergi.

Sampai di kawasan parit, Jabir melihat Nabi Muhammad sedang berehat. Beliau berjalan menuju ke arah Nabi Muhammad.

Jabir mendekati Nabi Muhammad dan berkatanya kepadanya dengan suara yang perlahan: "Jemputlah datang ke rumah saya. Saya ada sediakan makanan buat tuan. Cuma makanan itu sedikit. Saya tidak dapat menjemput ramai orang kerana risau ia tidak cukup."
Mendengar khabar itu, Nabi Muhammad melaung-laungkan suaranya menjemput semua yang terlibat ke rumah Jabir.

"Dengar sini semua, hari ini Jabir berbesar hati menyediakan makanan bagi kita semua. Mari kita beramai-ramai menuju ke rumah Jabir!"

Para pekerja yang mendengar laungan Nabi Muhammad itu berasa gembira. Mereka beramai-ramai menuju ke rumah Jabir. Sebelum bergerak, Nabi Muhammad berpesan kepada Jabir supaya tidak menyediakan makanan itu sehingga Nabi Muhammad sampai.
Sampai sahaja mereka di rumah, isteri Jabir terkejut melihat ramai orang datang ke rumahnya.

"Bukankah saya sudah berpesan kepada kamu tadi. Kamu mesti bertanggungjawab sekiranya makanan ini tidak cukup bagi menampung seramai 1,000 orang ini," kata isteri Jabir kepada suaminya.

Kemudian, Nabi Muhammad menuju ke dapur rumah Jabir. Beliau berdoa kepada tepung gandum itu. Kemudian, beliau menuju ke tempat periuk memasak daging dan berdoa pada periuk itu.

Selepas mendoakan makanan itu, Nabi Muhammad berpesan kepada isteri Jabir supaya mencari seorang pembantu bagi membantunya memasak. Nabi Muhammad juga berpesan supaya periuk yang berisi kambing itu dibiarkan masak di atas tungkunya dan hanya dicedok terus dari periuk itu.

Selepas makanan itu siap dimasak, Jabir menghidangkan kepada tetamu-tetamunya. Berkat keikhlasan mereka, Jabir dan isterinya tidak menyangka makanan yang sedikit itu cukup untuk 1,000 orang tetamu.

http://www.utusan.com.my/utusan/ ; Petikan daripada buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd

Upload By : MR.B

Selamat Menjalani Imtihan

Ikhlaskan hati dengan ilmu, InsyaAllah akan dipermudahkan urusan,. ~Picture of Deviant Art

Selamat Maju Jaya kepada semua warga Kolej Canselor dalam menghadapi peperiksaan akhir semester ini.


Semoga dipermudahkan urusan dalam menjawab imtihan ini. 

November 7, 2010

Apabila keperluan muncul, ia bergeseran dengan ikhlas.

Ikhlaskah kamu dalam memberikan sesuatu? tepuk dada, tanya iman. ~ Picture by BeciAnne of DeviantArt



Keikhlasan. Kalau kita ceramah, mungkin kita boleh syarahkan berkenaan ikhlas selama tiga hari tiga malam. Tetapi mempraktiskannya? Mungkin sebahagian orang akan berkata senang sahaja. Tetapi wujud sebahagian manusia akan membicarakan kesukarannya dalam mengikhlaskan diri.

Orang-orang yang hakikatnya tidak pernah mengalami kesukaran untuk mengikhlaskan diri, sebenarnya tanpa mereka sedari, mereka belum lagi berada di medan yang sebenar.

Hal ini kerana, jika anda mampu mengikhlaskan diri tanpa ada halangan menarik anda keluar dari keikhlasan, maka itu bukannya satu perkara yang boleh anda banggakan atau nampak sebagai pencapaian yang memuaskan. Samalah dengan orang yang beribadah di dalam gua, berbanding dengan orang yang mengajak ke jalan Allah di tengah kota. Keikhlasan yang terbina hasil dari perjuangan adalah ikhlas yang berkualiti.

Bilakah keikhlasan benar-benar teruji?

Bila wujudnya keperluan lain dalam beramal.


Perkongsian dengan manusia yang berjuang.

“Masa enta tak perlukan duit, enta boleh kata tak ada kesukaran dalam mengikhlaskan diri. Dalam hati enta memang tak ada langsung rasa perlu kepada duit, nak pada duit, sebab enta dah ada duit. Jadi enta buat kerja, tanpa fikir sikit pun akan hal itu.”

Saya mengangguk-angguk.

“Tetapi, apabila sampai satu waktu, duit merupakan keperluan dalam hidup enta. Enta perlukan duit nak sara anak, sara isteri, sara keluarga. Dalam pada masa yang sama, enta langsung tak ada duit. Duit enta sangat sikit. Apabila ada orang panggil enta pergi program, bagi ceramah, buat talk, agak-agak macam mana?”

Dan saya terkedu.

Dan yang berkongsi itu berkata:
“Bila berada dalam situasi itu, barulah bicara perihal ikhlas. Ikhlas yang sebenar, dilihat pada situasi yang demikian.”


Setiap perkara ada dua situasi

“Teori dan praktis. Itu adalah dua situasi. Enta akan nampak satu perkara itu, punya dua definisi berdasarkan dua situasi yang berbeza. Definisi semasa praktis, dan definisinya semasa teori. Mungkin dahulu sebelum enta bergeser dengan keperluan, enta nampak ikhlas itu begini dan begitu. Tetapi bila enta benar-benar bergeser dengan keperluan, enta akan nampak ikhlas itu dalam bentuk yang lain pula. Dan masa itu enta akan nampak, apakah ikhlas yang sebenar. Medannya, keperluan untuk ikhlas dan sebagainya.”

Benar dan benar. Saya hanya mampu mengangguk.


Besarnya ikhlas kepada orang yang beriman

Ada orang berkata: “Alah, buat apa susah-susah fikir fasal ikhlas ke tak ikhlas? Tak fikir langsung kan bagus? Buat pening sahaja. Asal kerja jalan sudah.”

Ya. Mungkin kita nampak, ‘benda-benda tidak nampak’ ini melecehkan.

Tetapi ikhlas hakikatnya adalah syarat utama mencapai ISO yang Allah tetapkan. Ikhlas menjamin kelangsungan kerja yang berpanjangan, kekuatan diri dalam melaksanakan amalan dan mempertahankan diri dari keputus asaan dan kekecewaan.

Ikhlas ini besar kerana silap di dalam ikhlas, akan membawa kita ke pengakhiran yang berlainan. Ini terbukti apabila ‘niat’ dianggap sangat-sangat besar dan penting di dalam Islam. Lihatlah dalam apa kitab hadith sekalipun. Biasanya yang dimulakan adalah hadith berkenaan niat.

“Sesungguhnya setiap amal itu dikira dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang itu dengan apa yang diniatkan olehnya. Sekiranya dia berniat berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka dia akan berhijrah kepada Allah dan rasulNya. Tetapi sekiranya dia berniat berhijrah kerana dunia dan segala habuannya, atau kerana perempuan untuk menikahinya, maka dia akan berhijrah ke arah apa yang dia hendak hijrah kepadanya.” Hadith sohih muttafaq alaih.


Keikhlasan adalah penting. Besar kepada orang yang beriman yang berhajatkan redha Allah SWT. Yalah, sekiranya niatnya salah, maka redha Allah bukan berada dalam genggamannya. Sekiranya niatnya salah, maka segala amal adalah sia-sia dan tidak dikira.

Maka mengapa perkara ini tidak diperhatikan?


Kadangkala kita rasa kita sudah cukup ikhlas

Ada waktu, kita rasa kita sudah cukup ikhlas. Berhati-hatilah. Sebab mungkin kita mampu merasakan demikian kerana kita belum diuji. Ikhlas dalam beramal ini ibarat air susu yang keluar antara saluran najis dan darah. Ia tetap putih bersih tidak tercemar, bahkan rasa darah atau bau najis pun tidak keluar bersama dengannya.

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan(najis) dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” Surah An-Nahl ayat 66.

Ikhlas adalah demikian. Dari celah-celah ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran yang menarik kita jauh dari keihlasan kita kepada Allah SWT, ikhlas terpancar bersih daripada luhur jiwa dan amalan kita. Ranjau dan halangan, dugaan dan cabaran, itu semua mendidik kita mengenali ikhlas dengan lebih mendalam, dan mengangkat kita pada satu tahap keikhlasan yang baru.

Maka siapakah antara kita yang berusaha menjaga keikhlasannya?


Penutup: Maka perhatikanlah dirimu, saat pergeseran berlaku.

Maka kita perhatikan diri kita. Pada saat-saat pergeseran antara keinginan untuk ikhlas, dan keperluan yang mendesak datang. Maka di situlah kita ukur kualiti diri kita yang sebenar. Di situlah titik ujian dan muhasabah.
Apakah kita mampu untuk ikhlas?

Atau kita ada perasaan untuk memproses lagi diri kita?

Apabila kita faham makna ikhlas, dan keperluannya dalam kehidupan kita sebagai hamba, maka kita akan berusaha menjaganya sebaik mungkin, dan berusaha mewujudkannya dengan kesungguhan yang tidak terkira. 

Sumber : Hilal Asyraf

November 4, 2010

Senyum

senyum itu sedekah yang paling mudah. ikhlaskan hati dalam memberi senyuman. ~picture by diehappy in deviantart


1.Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2.pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senaman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda, tetapi memberi kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut tersenyum dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman mempertahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3.Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi), ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4.Senyum bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi; menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5.Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100x dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabil kita ketawa, tekanan darah dan kdar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar in akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6.Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa daripada orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara 4 hingga 6 tahun ketawa 400x sehari berbanding 15x sehari kalangan orang dewasa. Justeru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masaalah kemurungan.

7.Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua 'sterss' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8.Dalam kejadian diatas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan di sebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah di ambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotranmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan adrenaline'.

9.Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T, (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10.Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan, atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11.Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah.Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik .Senyum tidak perlu modal, cuma sekelumit rasa ikhlas yang memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedng marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.


Sumber :Mr.B

Mana Tuhan Kamu III



Tahun 1187. Medan peperangan Hattin. Debu masih menyelimuti langit. Mayat-mayat pula penuh bergelimpangan di atas bumi. Burung-burung pemakan bangkai mula mengintai makanannya.
Kelihatan dua orang lelaki dalam keadaan terikat, sedang dibawa ke satu khemah yang besar.

“Tuanku, inilah dia Guy of Lusignan dan Raynald De Chatillon” Wakil askar yang membawa dua orang itu bersuara.

Satu figur yang memakai zirah perang kuning keemasan lengkap bertopi, memalingkan wajah. Menghadap kepada dua tawanan perang itu. Matanya bersinar.

“Salahuddin” Raynald mengetap bibirnya.

Salahuddin Al-Ayubi tersenyum.

“Kamu mengabaikan suratku agar memulangkan adindaku. Bahkan berkeras untuk tidak menyerah dan membunuh pula utusanku” Salahuddin bergerak melepasi dua tawanan itu.

Dia memandang jauh ke medan perang.

Mayat-mayat tentera salib sedang dikumpul untuk dibakar. Pakaian besi dan senjata mereka telah diekstrak sebagai harta rampasan. Guy of Lusignan bersama Raynald De Chatillon keluar dari Sephoria menuju ke Tiberias untuk berhadapan dengan tentera Salahuddin Al-Ayubi selepas terpancing dengan serangan Salahuddin ke atas benteng tentera salib di Tiberias. Tentera Salahuddin yang utama hakikatnya berada di tempat bernama Kafr Sabt, bersedia untuk menyerang hendak tentera salib pimpinan Guy dan Raynald.

Perjalanan yang panjang, tanpa sempat mencapai sumber air, membuatkan tentera Salib menjadi lemah. Ketika itu juga tentera Salahuddin dari Kafr Sabt bergerak menghentam mereka dari dua arah. Dalam masa dua hari, tentera mereka hancur. 

Cubaan  terakhir, mereka bergerak ke sebuah kawasan air di Hattin untuk menyusun semula tenaga mereka.
Namun Salahuddin telah menjangka semuanya. Di lembah Hattin, tentera Salib dihabisi.

Begitulah Allah mengotakan janji-janjiNya.

Di manakah Allah?

Bersama hambaNya yang percaya.

Salahuddin berpaling kembali dan merapati Guy dan Raynald. Dia memberikan isyarat kepada pembantunya agar membawakan air. Apabila air telah sampai, Salahuddin meminum air itu dan kemudian memberikan segelas air kepada Guy.

Guy mengambil dengan rakus, kerana sememangnya dia kehausan. Namun di tengah kehausannya, dia tidak lupa akan Raynald. Diberikanna sedikit air untuk rakannya itu.

Salahuddin mencelah: “Aku tidak memberikan kebenaran pun untuk itu”

Kedua mereka diam. Raynald kemudian menjawab: “Tidak. Tetapi rajaku, Guy yang memberikan aku minum”

Salahuddin tidak berkata apa-apa.

“Kau masih ingat apa yang kau katakan tahun lepas, Raynald?”

“Em, apa yang aku katakan?”

“Di manakah Allah dan Muhammad untuk membantu kamu?” Mata Salahuddin membesar.

Bulu roma Raynald menegak.

“Di sini Allah menurunkan hukumanNya buat kamu!” Salahuddin mengunuskan pedangnya, terus memeganggal kepala Raynald De Chatillon. Darah menyembur hingga membasahi tubuh Guy of Lusignan. 

Tubuh Raynald menyembah bumi dengan kepala terpisah dari diri.

Salahuddin memandang Guy.

“Raja tidak akan membunuh raja. Apakah ini tidak cukup untuk kamu mengambil pengajaran?”

Dan Salahuddin bergerak pergi.

“Kita ke Jerusalem. Menawan Al-Quds!” Sambil mengangkat tangannya. Disambut takbir yang menggempita daripada seluruh tentera.

***

November 2, 2010

Muslimah Solehah Itu Bidadari.

Bidadari syurga di atas dunia ini ~ picture by cerulean of deviant art.


Muslimah Solehah itu Bidadari

muslimah solehah itu bidadari
tersimpan kemas dalam syurga Ilahi
tidak tersentuh oleh manusia rakus mahupun jin
bersih, suci menjaga diri

muslimah solehah itu bidadari
dirinya mahal tidak mampu dibeli
hanya keimanan dan ketaqwaan maharnya nanti
maka siapa yang menolak ketinggian ini?

lembut wajahnya nur ibadah
sopan langkahnya memancar hasanah
malunya perisai mengangkat darjah
fikrahnya jelas, prinsip Ilahi tidak tergugah

muslimah solehah itu bidadari
bidadari syurga yang wujud di dunia ini
yang akan melahirkan anak-anak akhirat
mentarbiyah mereka dengan didikan syurgawi

muslimah solehah itu bidadari
bukan untuk dicari-cari atau dipuja lelaki
tetapi nanti akan berhadapan dengan Ilahi
dan apakah yang kamu wahai perempuan sudah laksanakan dalam kehidupan yang Kuberi?

0223PM
291010
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Taqwa
Puisi Muslimah Solehah itu Bidadari