Pages

February 24, 2011

Kau Murabbi Bukan Selebriti!

Murabbi itu ialah pelajar. ~ Picture by kuzuryo of DeviantArt


Leaders are learners - pemimpin adalah individu yang sentiasa belajar. Begitu saya diingatkan berkali - kali. Malah, satu ungkapan yang sering menjadi pegangan saya ialah saat kita berhenti belajar saat itulah kita akan berhenti memimpin - when you stop learning, you stop leading. Ya, walaupun saya bukan pemimpin dalam skala besar tetapi saya adalah pemimpin diri sendiri. Hakikat ini mengingatkan saya kepada perbualan bersama Pak Long - -orang tua kampung saya pada minggu lalu.

"Kau asyik mengajar sahaja, bila kau belajar?" tanya Pak Long pada satu hari.

Saya diam. Saya tahu, Pak Long bukan bertanya sebenarnya tetapi dia mengingatkan.

"Apa yang kau tulis dan cakapkan tu, betul - betul sudah kau amalkan?"

Saya bertambah diam. Selain ayah, Pak Long adalah orang yang paling saya hormati, malah saya takuti (kadang - kadang). Namun begitu, Pak Longlah tempat saya 'ziarah' apabila ada sesuatu keputusan, kemusykilan atau kecelaruan berlaku dalam episod hidup saya. Sejak saya masih di sekolah rendah, hinggalah kini Pak Long adalah guru saya.

"Saya hanya penyampai Pak Long. Apa yang saya tulis dan cakap merupakan gugusan pengajaran yang bukan hanya diambil daripada pengalaman diri tetapi juga orang lain. Saya juga berharap apa yang telah saya sampaikan, dapat juga saya amalkan"

"Jangan hanya berharap, usaha!" pintas Pak Long.

"InsyaAllah" jawab saya pendek.



"Bagus tu, Jangan menulis diri sendiri. Ingat pesan ni, orang yang bijaksana menulis tentang ilmu. Orang yang cerdik menulis tentang peristiwa. Orang yang pandai menulis tentang orang lain. Hanya orang bodoh menulis tentang diri sendiri"

Saya mengangguk perlahan. Dalam maknanya kata - kata Pak Long kali ini.

"Pak Long lihat ada kecenderungan sesetengah penulis asyik menulis tentang dirinya. Begitu juga pnceramah yang asyik bercakap tentang 'aku'nya."

"Tapi Pak Long, tak salah kalau pengalaman itu dapat dikongsi dengan orang lain. Malah itu lebih real daripada apa yang dialami orang lain"


"Betul. tak salah. Tetapi jangan keterlaluan"

"Kenapa Pak Long?"

"Sebab, kekuatan ilmu itu lebih ampuh daripada kekuatan peibadi. Biar pembaca atau pendengar bersandar kepada kekuatan ilmu yang diketengahkan, bukan kekuatan peribadi penulis atau penceramah itu sendiri"

"Kenapa Pak Long?"

Pak Long merenung tajam, Dia faham kali ini saya bukan hanya menyoal tetapi mempersoalkan.

"Pak Long lihat, penulis atau pendakwah masa kini tidak syumul dari segi personalitinya. Tak payahlah Pak Long huraikan secara terperinci, muhasabahlah diri masing - masing"

"Maksud Pak Long, golongan ini banyak kelemahan?. Biasalah Pak Long. Siapa yang sempurna? Adakah hanya apabila semuanya sempurna baru kita boleh berdakwah?"

"Tidaklah begitu. Tetapi biarlah pendakwah sekurang - kurangnya lebih sempurna sedikit daripada golongan yang diserunya"

"Kalau tidak?"

"Masyarakat akan kecewa, apabila melihat figur - figur yang mereka kagumi malah ingin teladani tidak seperti yang mereka harapkan"

"Pak Long, sejak dulu kita diajar bertoleransi dalam hal - hal yang begini. Pendakwah tidak sempurna seperti 'bahan' dakwahnya. Begitu juga Islam, dengan umat Islam. Islam sentiasa hebat, tetapi Muslimnya adakalanya hebat adakalanya tidak, bergantung sejauh mana mereka mengamalkan Islam itu sendiri"


"Hujah lama" balas Pak Long.

"Tapi mash relevan, Pak Long" saya seakan merayu.

"Kalau hujah tu berputar - balik begini macam mana.. Ya, kalau Islam itu sentiasa hebat tetapi umatnya belum tentu. Jadi kalau begitu, di mana letaknya keupayaan Islam dalam menjana kehebatan umatnya?"

Sahih, saya terperangkap. Seperti biasa hujah Pak Long akan bertambah gagah, kalau disanggah. Justeru, kerana itulah saya selalu 'melawan'. Pak Long bukan guru - kau diam, aku cakap! Tetapi dia adalah guru yang demokratik - prinsipnya : Mari sama - sama kita cari kebenaran.

"Kau tidak pernah terbaca tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi tentang keluhan seorang intelektual Barat yang baru memeluk Islam? Apa keluhannya?"

"Maha Suci Allah yang telah memperkenalkan aku Islam sebelum aku mengenal Muslim.."

"Tau pun. Jika intelektual itu kenal Muslim, mungkin dia tidak tertarik pun untuk memeluk Islam. Jadi dari segi tertib, siapa yang nak kita perkenalkan dahulu? Muslim atau Islam?"

"Islam Pak Long" saya akur. Tunduk.

"Ya, itulah maksud Pak Long. Pendakwah atau penulis, mesti mengetengahkan prinsip dakwah, Islam dan tarbiah, bukan input peribadi atau personalitinya. Bawa orang kepada Allah bukan kepada diri, bawa orang kepada Islam bukan kepada produk atau kumpulan"

"Terima kasih Pak Ling, selalu - selalulah ingatkan saya"

"Ingat pesan Pak Long ni, pendakwah adalah murabbi bukan selebriti!!"

(Pesanan Pak Long yang akhir itu sampai sekarang masih 'menikam' saya!)

Dipetik dari : Nota Hati Seorang Lelaki karya Ustaz Pahrol Mohd. Juoi

0 comments:

Post a Comment