Mari bina jambatan hati! ~ Picture by Lady Tori of DeviantArt. |
Semasa saya bercuti di Malaysia tempoh hari, antara soalan yang popular saya perolehi semasa memberikan talk adalah berkenaan bagaimana hendak mengajak rakan kepada kebaikan, bagaimana hendak menegur sahabat dengan baik dan perkara-perkara yang sedemikian rupa.
Bila saya jawab, “Tegur sahajalah.” Ramai akan memberikan ekspressi terkejut. “Tak terasa ke nanti dia?”
Maka di sini saya melihat satu perkara yang kurang dalam hubungan kita dan sahabat kita, atau orang sekeliling kita. Sampaikan kita rasa takut dia akan terasa apabila kita menegurnya. Sampaikan kita risau penerimaannya terhadap kita. Sampaikan kita mati akala apakah teknik yang perlu kita gunakan untuk mengajak mereka kepada kebaikan.
Apakah yang kurang itu?
Jambatan hati.
Apakah jambatan hati?
Jambatan hati adalah hubungan antara hati. Biasanya digunakan jambatan adalah kerana fungsi jambatan adalah untuk menghubungkan dua tanah yang terpisah. Maka di sinilah kita sebagai hamba Allah yang ingin memberikan kebaikan yang banyak kepada orang sekeliling, perlu membina jambatan antara hati-hati kita dengan mereka.
Maka, apakah yang mampu menjadi ‘jambatan’ antara hati-hati kita?
Bahan asas yang utama dalam hendak membina ‘jambatan’ antara hati-hati kita itu adalah keimanan kepada Allah SWT. Dan ‘jambatan’nya adalah akhlak dan kebaikan yang kita semaikan kepada mereka.
Pokoknya, kita membina hubungan kita dengan mereka, untuk mengejar keredhaan Allah SWT.
Memberikan kebaikan, satu perniagaan jangka panjang
Tidak semestinya projek “amar ma’ruf nahi munkar” itu perlu terwujud hanya pada ketika kita melihat kemungkaran berlaku di hadapan mata kita. Apabila kita melihat sahabat kita tersungkur, baru ada perasaan hendak mengajaknya kepada kebaikan. Bukanlah pada masa itu baru kita nak ajak pergi minum, pergi slow talk, bagi tazkirah dan sebagainya.
Hakikatnya, memberikan kebaikan kepada orang sekeliling adalah satu elemen ‘jambatan hati’ yang amat penting. Memberikan kebaikan semenjak awal. Rapat dan meraikan. Berhubungan baik dan menunjukkan kemesraan. Ziarah dan sentiasa berusaha menghulurkan bantuan. Pada masa yang sama, kita menjalankan proses ta’aruf dan berusaha untuk mendalami peribadi.
Dalam pada masa yang sama, menunjukkan qudwah hasanah juga adalah salah satu ‘jambatan hati’ pada hakikatnya. Segala kebaikan yang kita usaha pancarkan, semua itu hakikatnya menyumbang kepada pembinaan ‘jambatan hati’ antara kita dan manusia di sekeliling kita.
Walaupun perkara ini nampak ’slow’, tetapi kesannya adalah sangat menyengat. Memang nampak sukar memberikan kebaikan tanpa apa-apa sebab khusus melainkan kerana Allah SWT semata-mata. Tetapi inilah dia ‘perniagaan’ jangka panjang kita.
Hubungan yang terbina itu akan membuatkan kita lebih erat, dan dia akan lebih mudah hendak mendengar pendapat kita.
Maka kita terus-terusan memberikan kebaikan, membina jambatan hati, antara hati kita dan hati-hati mereka.
Elemen tersembunyi di dalam ‘jambatan hati’
Dan janganlah kita semata-mata melihat kepada zahir sahaja jambatan hati ini. Jangan semata-mata kita melihat amal-amal kebaikan yang kita curahkan tadi adalah limitasi kepada pembinaan jambatan hati.
Jambatan hati juga sepatutnya terus kita wujudkan walau mungkin kita dan mereka itu tidak bersua dan bertemu. Itulah dia dengan membersihkan hati kita, mengikhlaskan niat kita, dan sentiasa melayangkan doa buat mereka.
Ketahuilah bahawa, hidayah itu adalah milik Allah. Kadang-kadang kita lupa akan hakikat ini, lantas hanya bermati-matian dalam hal fizikal, tanpa bermati-matian juga mendoakannya secara khusus dalam angkatan tangan kita. Siapakah yang istiqomah dalam
mendoakan orang yang ingin diajaknya kepada kebaikan?
Dan ketahuilah bahawa, cermin yang hitam takkan mampu memantulkan cahaya.
Masalah apabila diwujudkan kasta
Ada antara kita tidak mahu membina jambatan hati. Hal ini kerana di dalam hati kita, kasta-kasta seperti ‘orang tak berakhlak’, ‘kumpulan lagha’, ‘rosak’ dan sebagainya telah kita wujudkan. Di sini, di dalam hati telah wujud ‘hijab’ atau ‘dinding’ yang menghalang kita untuk menegur dengan teguran yang menyentuh jiwa.
Tiadalah dari mulut itu akan sampai melainkan hanyalah ke telinga. Tetapi yang daripada hati itu akan terus sampai ke hati juga. Maka pembinaan ‘jambatan hati’, ‘perniagaan jangka panjang’ kita tadi adalah satu elemen yang sangat penting.
Tetap membina hubungan, meraikan, mendalami, meneliti bukanlah bermakna kita juga perlu terjebak dengan segala ‘perlanggaran’ yang dilakukan. Janganlah takut dengan bicara yang biasanya kedengaran begini: “Nanti kalau ana tak nak ikut, diorang dah tak nak rapat dengan ana.”
Untuk budak-budak sekolah yang belum dewasa, mungkin begitu. Tetapi lumrahnya apabila di universiti, bila di dalam masyarakat, sekiranya kita adalah yang mencurahkan kebaikan, orang lain(melainkan yang benar-benar berniat buruk) tidak akan menyuakan kepada kita keburukan. Malah, akan muncul rasa segan dan hormat apabila kita dengan sopan menyatakan prinsip kita.
Ini semua termasuk dalam terma ‘perniagaan jangka panjang’. Kita mungkin tidak akan melihat hasil ini dalam sehari dua, seminggu dua, sebulan dua. Tetapi dalam satu jangka masa, dengan usaha yang tidak pernah kenal lelah, kita akan melihat perubahan demi perubahan terhadap target-target kita tadi.
Hati yang telah tertaut itu berbeza
Dua hati yang telah bertaut itu berbeza dengan dua hati yang tidak berhubung. Hatta seorang penceramah yang baik pun, adalah penceramah yang membina jambatan hati dengan masyarakatnya semampunya. Walaupun mungkin dia tidak membina jambatan hati dengan seorang perseorang dalam masyarakatnya.
Ibarat orang yang bercinta, berbeza bukan dengan orang yang tidak bercinta?
Begitulah hasilnya apabila dua hati berhubung.
Bicara akan lebih mudah didengar, pendapat akan lebih mudah diperbincangkan, dan hati akan lebih tenang dalam menerima.
Penutup: Jambatan hati, hilangkan benci, tanamkan kasih
Pada saya, ketiadaan jambatan hati adalah yang membuatkan kita takut orang terasa dengan teguran kita. Sebab? Sebab kita tidak rapat dengannya. Kita tidak memahami apa sebenarnya masalah dia.
Sebenarnya, sekiranya ada jambatan hati, memang kena ’sembur’ akibat terasa ditegur itu memang ada. Tetapi oleh kerana kita telah membina jambatan hati tadi, lama-lama dia yang akan kembali kepada kita, meminta maaf dan muhasabah semula. Ini berlaku kepada sahabat karib saya sendiri apabila dia dibuang lebih kurang tiga bulan dari kehidupan sahabatnya. Semuanya hanya kerana dia memberanikan diri menegur. Tetapi selepas itu, sahabatnya yang ditegur itu kembali kepadanya. Meminta maaf. Bahkan melakukan perubahan. Mungkin sahaja dalam selama ‘jambatan hati’ itu dibina, hati Sang Sahabat tadi telah terlentur dan lembut sebenarnya. Siapa tahu bukan?
Hilangkan kebencian di dalam hati.
Tanamkan kasih.
Biar kita lihat semua wajah, semua wajah itu kita sayang dan berusaha membawanya ke arah kebaikan.
Jangan sesekali merasakan, pada kita ada tanggungjawab ‘melempar orang ke neraka’. Sebab sepanjang ilmu yang saya ada, saya hanya tahu bahawa Allah bagi tanggungjawab pada manusia untuk ‘membawa orang ke syurga’. Hatta arahan Allah untuk memerangi orang-orang yang ingkar kepadaNya juga adalah atas hendak membawa lebih ramai orang menjadi hambaNya yang sebenar.
Maka di sini kita lihat semula.
Mula membina jambatan hati antara kita.
Sebarkan kebaikan dengan cara yang halus.
Biar hati-hati yang ada menjadi mulus.
Sumber : Hilal Asyraf
0 comments:
Post a Comment